Home Ekonomi Harga minyak terus tinggi

Harga minyak terus tinggi

Gambar hiasan. Foto Reuters

SYDNEY (Reuters) – Harga minyak meningkat lebih tinggi pada Jumaat, meneruskan trend keuntungan kepada empat sesi susulan peningkatan ketegangan di Asia Barat akibat kebimbangan terhadap gangguan bekalan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada paras AS$72.82 setong pada 0024 GMT, naik 20 sen atau 0.3 peratus berbanding ketika ditutup semalam. Brent ditutup tinggi 1.2 peratus pada Khamis apabila harga mencecah paras tertinggi sejak 26 April kepada AS$73.36 setong.

Niaga hadapan US West Texas Intermediate (WTI) berada pada paras AS$63.18 setong naik 31 sen atau 0.5 peratus berbanding ketika akhir dagangan semalam. WTI ditutup 1.4 peratus lebih tinggi berbanding sesi sebelumnya.

“Harga minyak mentah meneruskan rali selepas ketegangan di Teluk Parsi semakin meningkat ditambah dengan ketidaktentuan terhadap hasil mesyuarat OPEC dan sekutu-sekutunya berhubung cara untuk menyelaraskan pengeluaran akibat sekatan terhadap Iran oleh Amerika Syarikat,” kata penganalisis pasaran kanan OANDA, Edward Moya.

Pasukan ketenteraan yang diketuai Arab Saudi di Yaman melancarkan beberapa siri serangan udara ke ibu kota Sanaa pada Khamis selepas pergerakan menyokong Iran mengaku bertanggung jawab terhadap beberapa serangan dron ke atas dua stesen pengepaman minyak awal minggu ini.

Dalam pada itu, pasaran masih menantikan keputusan yang bakal diambil oleh OPEC dan negara-negara pengeluar lain untuk menentukan sama ada pemotongan bekalan perlu diteruskan selepas langkah tersebut berjaya meningkatkan harga minyak dunia melebihi 30 peratus setakat ini.- Agensi