Home Nasional Inkues Adib: Dr Shahrom dipanggil semula beri keterangan

Inkues Adib: Dr Shahrom dipanggil semula beri keterangan

Dr Shahrom Abd Wahid

SHAH ALAM – Mahkamah Koroner di sini hari ini menetapkan 27 dan 28 Mei ini untuk memanggil semula seorang saksi doktor pakar forensik bagi memberi keterangan pada inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Saksi itu ialah Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Koroner Rofiah Mohamad memutuskan sedemikian selepas membenarkan permohonan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Terdahulu, Syazlin membuat permohonan untuk memanggil semula saksi ke-29 itu berikutan terdapat dakwaan teori yang dikemukakannya di mahkamah berhubung punca kematian Muhammad Adib adalah salah.

“Pihak kami percaya tiada bantahan daripada pegawai pengendali inkues berdasarkan persetujuan ketika permohonan memanggil semula saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, dikemukakan di Mahkamah Tinggi bulan lalu,” katanya.

Peguam itu juga mencadangkan supaya seorang saksi pakar dalam bidang kejuruteraan mekanikal dipanggil memberi keterangan berhubung formula daya melibatkan kecederaan dialami Muhammad Adib yang menjadi isu dalam mahkamah.

Pegawai pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin pula memohon mahkamah mempertimbangkan supaya saksi itu hanya dipanggil memberi keterangan berhubung teorinya dan bukan mengemukakan eksperimen baharu untuk menyangkal (rebut) eksperimen yang dijalankan oleh pasukan forensik HKL.

“Kami turut cadangkan seorang pakar kejuruteraan mekanikal bebas dipanggil, kaedah pemilihan pakar terserah kepada mahkamah (untuk putuskan) sama ada dilakukan oleh pihak berkepentingan atau mahkamah yang tentukan,” katanya.

Rofiah kemudian mencadangkan supaya Dr Shahrom hanya memberi keterangan dalam bentuk soal jawab dan bukan mengemukakan eksperimen baharu.

Berhubung permohonan memanggil saksi pakar kejuruteraan mekanikal, beliau meminta semua pihak berkepentingan berbincang terlebih dahulu cadangan nama pakar yang akan memberi keterangan selain soalan-soalan yang akan dikemukakan.

“Mahkamah perlukan cadangan nama, kelayakan (sebelum membuat keputusan). Jika mahu kemukakan (saksi), bagi keterangan dalam bentuk bertulis pun tidak apa seperti 112 kenyataan (pernyataan bersumpah) atau mungkin kemukakan soalan dan biar dia jawab, sebab ada beberapa isu termasuk kesediaan dan mungkin jika (saksi) dicadangkan oleh KPKT, orang akan beranggapan dia saksi berbayar,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut Jantung Negara.- BERNAMA