KUALA LUMPUR – Persatuan Penjaja Pasar Malam Taman Desa Fasa 1 menafikan tuduhan sekumpulan tujuh individu yang mendakwa pihaknya mengaut keuntungan atas angin menerusi kutipan yuran tahunan.
Malah, tuduhan yang dilemparkan oleh individu-individu terbabit sebenarnya fitnah, kata setiausaha persatuan berkenaan, Carmen Sum.
Menurutnya, persatuan itu tidak pernah mengutip yuran tahunan sebanyak RM210 sebagaimana dakwaan pada April lalu.
Sebaliknya, perkara sebenarnya ialah kutipan yang dikenakan kepada pemohon baharu yang ingin berniaga di pasar malam berkenaan.
Kutipan itu hanya sekali sahaja dikenakan.
“Kita tidak pernah kutip yuran daripada mereka (peniaga pasar malam). Maklumat yang mereka cakap itu tidak benar sama sekali.
“Apa yang betul ialah ketujuh-tujuh individu itu merupakan mereka yang sering membantah apa yang kami buat dan sering melakukan masalah,” katanya kepada Malaysia Gazette di sini hari ini.
Carmen berkata, sebagai persatuan yang diberi kuasa bagi menyelenggara dan menganjur kawasan pasar malam berkenaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bayaran dikenakan itu dipersetujui penjaja lain sebagai prosedur operasi standard (SOP) untuk menjaja di situ.
Katanya, sebagai penganjur setiap penjaja perlu mendapat surat sokongan daripada persatuan berkenaan untuk mereka mendapatkan lesen menjaja dan mereka juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Peniaga juga perlu mematuhi waktu operasi menjaja bermula jam 5 petang hingga 11 malam setiap hari Jumaat.
“Susun atur tapak niaga, perlu beroperasi sekurang-kurangnya 75 peratus setiap bulan selain mengguna kanopi serta pakaian yang sudah ditetapkan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Carmen berkata, tujuh penjaja berkenaan dengan sengaja membuat dakwaan tidak berasas itu adalah disebbakan mereka tidak berpuas hati apabila persatuan enggan memberi sokongan kepada mereka untuk memperoleh lesen menjaja di situ.
Jelasnya, sebagai penganjur pasar malam yang dipersetujui oleh DBKL sendiri, setiap penjaja perlu membuat permohonan lesen untuk menjaja di situ menerusi persatuan.
Dalam pada itu, bagi membersihkan nama persatuan daripada dakwaan individu tebabit pihaknya telah membuat tiga laporan polis berhubung perkara itu.
Sementara itu, seorang peniaga, Tan Kai Fee, 72, mempertikai bagaimana tujuh penjaja terbabit boleh menjalankan aktiviti mereka walaupun tanpa mendapat lesen daripada persatuan.
Katanya, dia bersama kira-kira 90 penjaja di pasar malam berkenaan sebelum ini bersetuju dengan kaedah digunakan oleh Persatuan Penjaja Pasar Malam Taman Desa Fasa 1.
“Sudahlah tidak mengikut prosedur, tujuh penjaja baru ini pula suka-suka beralih tapak berniaga sendiri dan mengarahkan penjaja lain pula beralih tapak.
“Kami hairan bagaimana mereka yang tak pernah berniaga di sini dengan mudah dapat lesen menjaja itu dan siapa yang luluskan,” katanya.
Seorang peniaga nasi lemak, Freddy St. Maria, 50, berkata, dengan adanya persatuan yang menguruskan pasar malam di situ keadaan menjadi lebih kemas dan teratur.
Ujarnya, pelanggan-pelanggan yang datang juga merasa lebih selesa dan keadaan itu tidak dapat dilihat di tempat-tempat lain.
“Mana nak lihat peniaga pasar malam mengenakan pakaian seragam.
“Ini satu perkara luar biasa yang jarang dilihat dikebanyakan tempat dan semua itu adalah hasil daripada usaha kami yang berada di dalam persatuan ini,” tambahnya.
Sebelum ini, media melaporkan rungutan beberapa penjaja pasar malam di kawasan berkenaan yang tidak berpuas hati ekoran mendakwa mereka dikenakan kutipan yuran tahunan sebanyak RM210 daripada sebuah persatuan.
Mereka turut mendakwa, terdapat ‘tangan-tangan ghaib’ dalam DBKL yang cuba membuat kutipan bayaran lebih mengambil kesempatan dengan menggunakan persatuan tersebut. – MalaysiaGazette
DBKL digesa siasat ‘tangan-tangan ghaib’ kutip yuran peniaga pasar malam