KUALA LUMPUR – Para majikan setiap organisasi media dicadangkan supaya bekerjasama dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk memberiĀ kesedaran kepada petugas media mengenai isu keselamatan.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah sesuai untuk melaksanakan perkara itu ialah dengan mengajak pengamal media mengikuti Program Keselamatan dan Kesejahteraaan Pekerjaan anjuran NIOSH yang telah bermula sejak tahun 2017.
Katanya, perkara itu penting kerana setiap wartawan perlu diberi pendedahan dalam aspek keselamatan terutama ketika mereka membuat liputan di kawasan bencana dan berisiko.
“Program ini tidak mengambil masa yang lama untuk diikuti lebih kurang setengah hari di mana kita jelaskan pelbagai undang-undang berkaitan keselamatan pekerjaan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa NIOSH bersama warga media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lam Thye terpanggil untuk mengajak majikan di setiap agensi media untuk bekerjsama selepas berlaku insiden melibatkan wartawan dalam kes gas beracun dalam insiden pencemaran sungai di Pasir Gudang pada Mac lalu.
Katanya, dalam kejadian itu, dimaklumkan seramai lima orang petugas media mengalamai sesak nafas dan terpaksa
menerima rawatan di hospital.
Tambah beliau, sekiranya organisasi media dapat diberikan latihan dan pendedahan menerusi program yang disediakan oleh NIOSH perkara seumpama itu tidak mungkin berlaku.
“Saya harap bos-bos organisasi media boleh memberikan perhatian yang berat terhadap perkara ini.
“NIOSH sedia membantu dalam pelbagai aspek termasuk menyediakan latihan yang bersesuaian,” ujarnya. – MalaysiaGazette