KUALA LUMPUR – Para peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan di bazar Ramadan Desa Pandan dekat sini ada sebab untuk marah-marah.
Ini kerana, kewujudan gerai bazar Ramadan yang dikendalikan Persatuan Peniaga Desa Pandan kembali beroperasi meskipun kebenaran berniaga di bazar tersebut hanya sah kepada peniaga berdaftar secara atas talian dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sahaja.
Akibatnya, para peniaga yang berdaftar dengan DBKL terpaksa mengalami kerugian akibat ‘persaingan’ dengan gerai persatuan ‘haram’ berkenaan.
Seorang peniaga ayam kunyit, Siti Rohaya Zainal menggesa pihak DBKL supaya membayar semula ganti rugi akibat kekurangan pelanggan di tapak bazar berkenaan.
“Kami meniaga untuk mencari sumber pendapatan. Pagi-pagi lagi sudah keluar rumah pergi pasar beli bahan untuk memasak. Ini lagi dua minggu nak raya tapi keuntungan berniaga belum nampak lagi.
“Sebelum ini, kami patuh kepada apa sahaja arahan daripada DBKL, nak suruh daftar atas talian, kami daftar tapi akhirnya kami yang kena tanggung semua kerugian,” katanya pada sidang media berhubung isu itu, di tapak bazar ramadan Desa Pandan, hari ini.
Sementara itu, peniaga lauk-pauk, Siti Nur Jannah Abdul Latif Chedzoy berkata, kewujudan peniaga persatuan peniaga itu mengundang persoalan kerana DBKL sebelum itu memaklumkan permit berniaga pada tahun ini hanya dikeluarkan atau secara atas talian oleh mereka.
Katanya, tambah mengecewakan, lokasi yang disediakan kepada persatuan peniaga oleh pihak DBKL adalah di atas tapak yang tidak dibenarkan mendirikan khemah dan tidak boleh berniaga.
“Bayangkan, kami sudah berniaga di sini hampir 15 hari, tetapi tidak mendapat untung. Orang ramai lebih gemar pergi ke bazar sebelah sana (persatuan peniaga).
“Kawan kami berniaga cuma dapat RM35 sehari, macam mana nak untung kalau macam itu.
“Jalan masuk untuk ke lokasi kami dari lokasi peniaga persatuan juga ditutup dengan meja peniaga persatuan di sana, sekaligus menyusahkan pelanggan untuk datang membeli di gerai kami,” ujarnya.
Justeru, peniaga berdaftar berkenaan menggesa DBKL mengemukakan jawapan berhubung perkara tersebut. – MalaysiaGazette