Home Seni Hidup Faziani maut semasa ke Pattani untuk sumbang derma kepada pondok tahfiz

Faziani maut semasa ke Pattani untuk sumbang derma kepada pondok tahfiz

TUMPAT – Pengasas produk kecantikan terkenal Dnars, Faziani Rohban Ahmad, 39, yang maut dalam kemalangan di Pattani, Thailand awal hari ini sedang dalam perjalanan ke wilayah tersebut bersama suaminya kerana mahu menyumbangkan derma ke sebuah pondok tahfiz.

Adik mangsa, Mohd Faizul, 34, berkata, Allahyarham kakak dan abang iparnya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, keluar dari rumah mereka di Wakaf Bharu di sini, kira-kira pukul 8 pagi tadi.

“Kakak baharu tiga hari pulang dari menunaikan umrah di Makkah dan selepas itu mereka ke Jakarta, Indonesia untuk berbuka puasa bersama anak yatim,” katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham di Kampung Paloh, Wakaf Bharu di sini, hari ini.

Sementara itu, anak kedua mangsa, Ainul Atiya, 18, berkata ibu dan bapanya sempat bersahur di rumah sebelum bertolak ke Thailand.

“Bapa ketika itu kelihatan penat kerana baharu pulang dari Jakarta tapi berkeras mahu memandu sendiri ke Pattani.

“Mereka kebiasaannya menggunakan khidmat pemandu dan sering bertolak ke sana pada pukul 9 pagi tapi hari ini berbeza,” katanya.Ainul Atiya berkata mereka sekeluarga sempat berbuka puasa dan makan ‘colek’ (rojak buah) di rumah nenek yang tinggal berdekatan dengan mereka.

“Kali terakhir saya bertemu Allahyarham ketika bersahur pada pagi tadi namun ibu tidak menunjukkan apa-apa perubahan,” katanya.

Katanya, jenazah Allahyarham ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit di sini, sebaik tiba dari Pattani.Faziani maut dalam kemalangan itu yang berlaku kira-kira 10.30 pagi manakala suaminya, Ahmad Shah Rizal pula cedera parah.- BERNAMA