Home Nasional PPIM desak wakil rakyat bela keluarga makan nasi berlaukkan garam

PPIM desak wakil rakyat bela keluarga makan nasi berlaukkan garam

Presiden Persatuan Usahawan Wanita dan Kemanusiaan, Irene Catalina (dua kiri) menyerahkan bantuan kewangan kepada seorang ibu, Marsyila Zakaria yang kesempitan hidup bersama 6 orang anak sambil diperhatikan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (kanan) di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2019

KUALA LUMPUR- Nasib ibu beranak tujuh, Marsyila Zakaria, 35, yang bersahur dengan nasi berlauk garam menyentuh hati Datuk Nadzim Johan yang melakukan kunjungan mengejut di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan hari ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu bersama Ketua Aktivis Wanita persatuan itu, Suraya Ali melihat sendiri keadaan kediaman keluarga tersebut.

Katanya, lawatan itu menyusul selepas PPIM menerima maklumat terdapat sebuah keluarga yang kelaparan di Cheras, Kuala Lumpur.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, dan pihak berwajib wakil rakyat harus tampil bertanggungjawab.

“Di mana pergi pihak yang diamanahkan membantu, bukan sahaja pihak zakat tetapi ahli komuniti itu sendiri sepatutnya membawa kepada pengetahuan pihak zakat dan tidak
membiarkan sesiapa pun dalam keadaan kelaparan dan daif.”

“Dalam kes ini, zakat telah membantu untuk bantuan sewa rumah dan bulanan RM350 pun begitu, kos perubatan anak OKU Autism keluarga ini mencecah RM350 sebulan, apa yang tinggal untuk mereka makan,” katanya.

MGF18052019_PPIM MENYERAHKAN BANTUAN 04
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyerahkan beras sebagai bantuan makanan kepada seorang ibu, Marsyila Zakaria yang kesempitan hidup bersama 6 orang anak di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2019

Pada kunjungan itu, PPIM dan rakan niaga PPIM, Koperasi Pembangunan Pengguna Islam (KoPPIM) bersama Hana Intelek Sdn Bhd dan SR Global Development Sdn Bhd telah menyerahkan bantuan berupa bekalan makanan dan bantuan kewangan kepada keluarga terlibat.

Turut hadir ialah wakil NGO WeHuman yang turut menyampaikan bantuan kewangan dan barangan makanan.

Nadzim turut meluahkan rasa kesal terhadap kejadian menimpa anak Marsyila, Mohd Al-Fallah, 13, yang menjadi mangsa buli sehingga tidak mahu bersekolah.

“Kami sedang mencari Pusat Pendidikan Tahfiz harian untuk anak ini menyambung persekolahannya,” ujarnya.

Marsyila mempunyai tujuh orang anak berusia antara setahun hingga 15 dan Mohd Al-Fallah merupakan anak kedua.

Menurut Nadzim, PPIM akan meneliti keperluan dan jenis bantuan lain untuk membantu mereka untuk masa jangka panjang.

Sambil menyatakan penghargaan terhadap bantuan kewangan bulanan yang dihulurkan Baitulmal serta Jabatan Kebajikan Masyarakat, beliau meminta Baitulmal menambah jumlah bantuan bulanan itu memandangkan kesempitan kehidupan suri rumah berkenaan.- MalaysiaGazette

“Saya kagum dengan wanita (Marsyila) yang tidak meminta orang luar dan sanggup berdikari cari nafkah untuk kelaparan anak-anak, maka orang prihatin luar sana mestilah tampil bantu secara ikhlas.

“Kita juga harus buat program ini menjadi program keluarga angkat membantu anak dia juga masuk sekolah jadi mangsa buli.

“Ahli Parlimen disini, KJ ke siapa tu..harap letak seorang wakil di kawasan ini supaya dapat menjejaki keluarga miskin sempit sebegini. ini pun kalau berita ini tidak didedahkan media, sudah pasti kita tak tahu,” tegasnya.

Ketua Aktivis Wanita PPIM, Suraya Ali pula berkata pihaknya akan terus berkomunikasi dengan ibu anak tujuh itu dan akan bekalkan barang keperluan mengikut keperluan.

“Untuk jangka masa panjang kita nak dia berdikari seperti yang dia nak dan mintalah usahawan berjaya diluar sana tampil bantu juga.

“Kitaran kemiskinan perlu dihentikan segera menerusi pendidikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette