Home Dunia 7 jet pejuang Perancis lakukan pendaratan cemas di Indonesia

7 jet pejuang Perancis lakukan pendaratan cemas di Indonesia

BANDA ACHEH – Tujuh buah pesawat pejuang angkatan tentera laut Perancis yang menyertai latihan ketenteraan melakukan pendaratan cemas di utara Indonesia berikutan keadaan cuaca buruk, kata seorang pegawai tentera udara Indonesia semalam.

Juruterbang tujuh pesawat Dassault Rafale mendarat di Pengkalan Tentera Udara Sultan Iskandar Muda di Acheh kelmarin, 90 minit selepas berlepas dari kapal pengangkut, Charles de Gaulle di Lautan Hindi, kata Panglima pengkalan tentera udara Acheh, Kolonel Hendro Arief, lapor AP.

“Kami perlu membuka pengkalan tentera udara kami untuk mereka mendarat memandangkan mereka berada dalam situasi kecemasan berikutan keadaan cuaca buruk,” kata Arief.

Beliau memberitahu, radar tentera udara mengesahkan pesawat tersebut terbang dalam wilayah Indonesia dalam keadaan berkabus dan cuaca buruk yang memerlukan mereka mendarat dengan serta merta ketika juruterbang cuba untuk berpatah balik ke kapal pengangkut yang terletak 100 batu nautikal di barat zon ekonomi eksklusif Sumatra.

Arief berkata, kakitangan tentera udara Indonesia telah selesai melakukan pemeriksaan ke atas pesawat tersebut.

Sebanyak lima daripada tujuh pesawat itu telah pulang semula ke kapal pengangkut semalam, manakala baki dua pesawat mengalami masalah teknikal, kata Arief.

Diplomat Perancis telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut. – Agensi