KUALA LUMPUR – Dengan baki 15 hari lagi kehadiran 1 Syawal, rakyat khususnya warga kota mulai sibuk membuat persiapan raya.
Apatah hari cuti hujung minggu dan cuti umum, warga kota memanfaatkan peluang itu sebaik baiknya membanjiri pusat beli-belah di Kuala Lumpur.
Tinjauan Malaysia Gazette di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) hari ini mendapati orang ramai termasuk dari Sabah membanjiri pusat-pusat beli belah dan gedung pakaian serta butik- butik koleksi tudung sempena Aidilfitri.
Menyedari hakikat ini, peniaga gedung pakaian dan pusat pasar raya besar tekstil dan pakaian Melayu ‘berlumba-lumba’ menawarkan pelbagai rupa pakaian baju Melayu dan baju kurung untuk kanak-kanak hingga ke dewasa dengan pelbagai reka bentuk yang unik dan eksklusif.
Gedung Pakaian Muaz Emporium di Jalan Tunku Abdul Rahman siap mempromosi tudung dan baju kurung keluaran baharu dengan harga serendah RM9.80.
Pekerja swasta, Zambri Mohamad, 44, dari Cheras berkata, Jalan TAR menjadi pilihan utama beliau sekeluarga untuk setiap Aidilfitri untuk membeli baju raya sebagai persiapan menyambut 1 Syawal.
“Ini tempat tumpuan utama orang ramai mendapatkan pilihan banyak dan harga berpatutan barang pakaian yang dikehendaki.
“Hari ini saya lihat daripada segi harga masih berpatutan walaupun ada tunggu saat-saat akhir untuk mendapatkan harga lebih rendah lagi dan persiapan saya belum kesemua, beransur-ansur datang dengan anak anak tinjau harga dan kualiti pakaian,” katanya ketika ditemui hari ini.
Bagi Setiausaha di firma guaman Publika Dutamas, Suzana Hussin 35, beliau sudah membeli pakaian baju kurung sebelum menyambut Ramadan lagi.
“Saya datang hari ini cari pakaian raya untuk suami saya serta anak-anak sebagai fasa kedua membeli belah dan berpuas hati dengan pakaian yang beraneka warna dan reka bentuk yang popular sejak dahulu lagi termasuk dari segi harga di Jalan TAR,” katanya yang akan menyambut 1 Syawal di kampung halaman di Slim River, Perak.
Menurut Kakitangan Pos Malaysia, Hassan Adli Abdul Latif, 52, beliau datang membeli belah sekeluarga untuk membeli pakaian bagi lima anaknya yang teruja untuk beraya.
“Jalan TAR pada cuti umum sebegini senang untuk membeli belah kerana ada banyak pilihan untuk membeli termasuk harga tidak berapa mahal.
“Walaupun saya nampak ada berlumba-lumba menawarkan harga rendah dan sebagainya sesama peniaga, sebagai pengguna kita perlu lebih bijak membandingkan harga dan membeli,” katanya yang merancang meraikan Aidilfitri dalam keadaan serba sederhana tetapi meriah dengan baju bertema biru di Kepong.
Bagi pasangan baru mendirikan rumah tangga sebulan lalu, Mohd Sofry Johari,27, dari Sabah datang merentasi laut demi membeli baju raya untuk beliau dan isterinya.
“Tahun ini menyambut raya biasa sahaja kerana sebelum ini berseorangan jadi tidak ada masalah memilih baju raya.
“Tetapi kini sudah berpasangan, maka pilihan baju raya mestilah secocok dan kami memilih tema warna merun. Lagipun saya puas hati dengan harga yang ditawarkan bukan sahaja berkualiti tetapi juga reka bentuknya yang menarik dan murah berbanding di Sabah.
“Di Jalan TAR memang tempat tumpuan utama setiap tahun untuk masyarakat Melayu sebab ada pelbagai pilihan, termasuk di Jakel yang mana semua kemaskini dengan jenama baharu termasuk Awal Ashaari,” katanya.
Eksekutif Proton dari Shah Alam, Mohd Farid Rosli, 27, turut teruja dengan membeli pakaian baju Melayu bersama keluarga di gedung pilihannya sejak dua tahun lalu, Jakel di Jalan Raja Abdullah kerana kualitinya tersendiri kain itu walaupun harga berbeza berbanding di luar sana.
“Tahun ini saya diperkenalkan dengan baju Melayu slim fit Awal Ashaari kalau ikutkan harga asal RM250 ke atas tetapi tadi mereka umumkan harga menjunam RM150 sahaja pada happy hour jadi saya cepat merebut peluang untuk dan beli baju bertema warna jingga itu,’ katanya.
Manakala, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pihaknya telah memperkenalkan keluaran terbaharu sempena sambutan Aidilfitri kali ini untuk pelanggan setia mereka di seluruh negara.
“Baju Melayu Awal Ashaari dengan trend terkini menyediakan zip di bahagian lengan untuk memudahkan mengambil wuduk dan zip bahagian pesa mudah menyarungkan dengan senang.
“Ini satu inovasi baharu kami lancarkan tahun ini dan walaupun ekonomi lembap masyarakat masih mengambil peluang membeli seperti takde apa apa berlaku.
“Kami terpaksa melayan tiga hari berturut-turut dari pagi hingga malam pelanggan penuh di gedung kami berbanding tahun lepas.sambutan luar biasa yang mana sebagai pusat sehenti kami sediakan baju dari saiz xxs hingga hingga XXXXL,” katanya.
Menurutnya, bagi wanita Jakel mengeluarkan 160 jenis baju kurung dengan reka bentuk dan corak unik dan lain daripada lain disebabkan pelangganpun sudah bertambah.
“Koleksi baju Melayu untuk lelaki dan baju kurung juga ditambah dan disediakan ruang untuk baju siap dipakai dengan keluasan 1000 kaki persegi memandangkan kunjungannya yang semakin bertambah sejak dua tiga hari ini iaitu 30,000 pelanggan di KL sahaja.
“Penentuan harga menjunam pada heppy hour pada waktu tertentu juga memberi kepuasan kepada pelanggan kami untuk mendapatkan pakaian pilihan dan mengikut cita rasa mereka dengan harga yang ceria demi kepuasan mereka,” ujarnya.- MalaysiaGazette