KUANTAN- Kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas (Malaysia) Sdn Bhd (Lynas) wajib menyelesaikan masalah sisa buangannya di Gebeng di sini, walaupun memindahkan operasinya ke negara lain.
Pengerusi Pakatan Harapan Pahang Fuziah Salleh berkata Lynas juga perlu bertanggungjawab kepada nasib pekerja mereka dan mematuhi hak yang dijamin di bawah Undang-Undang Buruh jika mereka menamatkan operasi di sini.
“Lynas wajib menyelesaikan masalah sisa buangan di Gebeng walaupun sekiranya mereka berpindah. Itu adalah tanggungjawab mereka. Keluar dari Malaysia tidak bermakna (mereka) tidak perlu menyelesaikan masalah sisa buangan yang banyak di sini.
“Mereka boleh keluar (dari Malaysia) tetapi mesti bertanggungjawab ke atas pekerja dan sisa buangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Fuziah yang juga Anggota Parlimen Kuantan berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita hari ini, yang melaporkan Lynas Corp telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Blue Line Corp yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat untuk membina kilang baharu di negara itu.
Tindakan itu didakwa dibuat berdasarkan perkembangan di Malaysia yang mengarahkan Lynas untuk mengeluarkan sisa buangannya sebelum lesen operasinya yang dijadual tamat pada 2 Sept ini dapat diperbaharui.- BERNAMA