KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO demi kemaslahatan parti itu.
Tidak perlu kembali menjalankan tugas sebagai presiden, sebaliknya Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berkata, Zahid perlu terus bercuti dan membiarkan parti dikemudi oleh pemimpin yang mampu memberikan nafas baru.
Namun jalan untuk Zahid terbuka luas sekiranya kes mahkamahnya selesai untuk kembali kepada parti menerusi cara demokrasi iaitu pemilhan.
“Kepada mereka ini, UMNO sepatutnya harus terus diberi nafas baru dan Zahid bukanlah orangnya. Kita doakan Zahid mahupun Najib diberi peluang untuk mendapat keadilan yang sewajarnya di atas segala pertuduhan yang mereka hadapi.
“Lepaskanlah UMNO ini kepada pemimpin yang ada dan tak perlulah lagi beracah acah untuk kembali. Jika selesai kes beliau dan beliau dibersihkan, tiada siapa yang boleh melarang beliau sekali lagi untuk menawarkan diri bertanding apa juga jawatan dalam parti.
“Berhentilah acah mengacah kerana ianya tidak baik untuk parti,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas perkembangan terkini dalam parti itu apabila terdapat penyokong Zahid mendesaknya kembali bertugas sebagai Presiden.
Zahid sendiri, kata Maulizan, menerusi rencana yang disiarkan sebuah akhbar baru-baru ini menyatakan kesediaannya untuk tidak lagi ‘bercuti’ daripada jawatan Presiden.
Tambah Maulizan, UMNO kini lebih diterima bukan sahaja golongan muda malah kumpulan B40 sejak Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan menjalankan tugas Zahid.
Namun parti itu katanya, masih perlu meraih sokongan daripada golongan profesional.
“Janji tak tertunai juga membantu hilangnya sedikit keyakinan golongan B40 dengan kerajaan Pakatan Harapan.
“Namun begitu UMNO juga perlu mengambil hati golongan pertengahan, profesional dan atasan yang bukan hanya melihat soal soal tersebut tetapi mereka juga mahukan pemimpin UMNO yang mempunyai persepsi positif dimata mereka seperti latarbelakang yang meyakinkan, sejarah kepimpinan yang tidak terlalu dilihat mengamalkan kronisme, tidak dilihat mengamalkan politik wang dan lain lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette