Home Nasional BookFest@Malaysia 2019 sasarkan 800,000 pengunjung

BookFest@Malaysia 2019 sasarkan 800,000 pengunjung

Pengarah Eksekutif Popular Book Co. (M) Sdn Bhd, Lim Lee Ngoh bercakap kepada media pada sidang media Ekspo Buku Malaysia 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Popular Book Co Malaysia Sdn. Bhd. (Popular) mensasarkan hampir 800,000 pengunjung ke Bookfest@Malaysia 2019 yang akan dianjurkan pada 1 hingga 9 Jun ini.

Pesta buku yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu melibatkan pempamer daripada sembilan negara iaitu Malaysia selaku tuan rumah, Singapura , China, Hong Kong, Taiwan, Australia, United Kingdom, Belgium dan Amerika Syarikat.

Pengarah Eksekutif Popular, Lim Lee Ngoh berkata, ia merupakan tahun ke-14 penganjuran pameran buku yang bertemakan ‘Assuredly Enriching’ dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kalau kita lihat tahun tahun yang lepas, pengunjung kami meningkat sehingga mencecah lebih 680,000 sebelum ini dan sudah pasti tahun ini harapkan lebih ramai.

“Kalau katakan sejuta pengunjung seperti yang anda tanya tadi baguslah kalau dapat dicapai, tetapi realisitik kami sasarkan lebih 700,000 pengunjung kali ini.

“Kali menyediakan produk gajet Teknologi Maklumat serta penjualan produk dan bahan bacaan dengan diskaun 20 peratus hingga 60 peratus,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur pagi tadi.

Tambahnya, penganjuran pesta buku itu juga bersempena ulang tahun penubuhan Popular ke-95.

Menurutnya, bagi menarik lebih ramai pengunjung muda dan kanak kanak, forum, pameran koleksi komik adiwira seperti Marvels dan beberapa kartun popular terpilih akan diadakan.

Kata beliau, Popular bukan sekadar mensasarkan jualan buku demi keuntungan semata mata tetapi mahu memastikan lebih ramai rakyat Malaysia menanamkan sikap suka membaca dalam kehidupan mereka.

“Budaya membaca dalam kalangan rakyat kita masih di tahap tidak memuaskan, membaca itu penting untuk menambah dan mempelbagaikan ilmu pengetahuan global kita.

“Maka membaca adalah suatu kemestian yang harus diterapkan dalam diri setiap rakyat dan Popular komited dengan tanggungjawab itu bersama sama dengan hasrat kerajaan mahu menjadikan Malaysia Negara membaca 2030,” ujarnya.

Lebih 500 produk bahan bacaan akan dijual pada harga rendah setiap hari sepanjang sembilan hari berlangsungnya pesta buku itu dan pembeli berpeluang membawa pulang hadiah percuma untuk setiap pembelian mengikut nilai pembelian yang disyaratkan penganjur sepanjang pameran kelak.

Menurutnya lagi, bengkel penulisan bahasa Inggeris termasuk sajak, bengkel kaligrafi tulisan Cina dan pertandingan, forum seni mempertahankan diri Cina serta forum diskusi turut diadakan.

Kemasukan percuma diberikan kepada pelajar dan warga emas berusia 60 tahun ke atas manakala orang dewasa dikenakan bayaran sebanyak RM10. – MalaysiaGazette