Home Utama FMM nafi tidak ambil pekerja tidak fasih Cina

FMM nafi tidak ambil pekerja tidak fasih Cina

Ujarnya, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik harus lebih berhati-hati ketika berhujah termasuk tidak bercakap sembarangan di hadapan pelajar yang ramai.

Pengerusi FMM cawangan Pulau Pinang, Datuk Dr. Ooi Eng Hock

PETALING JAYA – Seorang pemimpin Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menafikan bahawa majikan tidak mengambil pekerja yang tidak fasih dalam bahasa Cina.

Pengerusi FMM cawangan Pulau Pinang,  Datuk Dr. Ooi Eng Hock berkata, pengambilan pekerja adalah berdasarkan beberapa kriteria termasuk prestasi, kemampuan dan sikap.

Beliau berkata, perniagaan biasanya meminta supaya pemohon kerja menguasai bahasa Inggeris, manakala kefasihan bahasa lain adalah berdasarkan pasaran yang ingin ditembusi syarikat.

“Jika syarikat mahu menembusi pasaran India, China atau Timur Tengah, maka pemohon kerja yang fasih dalam bahasa Tamil, Cina atau Arab mempunyai kelebihan.

“Kami tidak mungkin mengambil pekerja yang fasih bahasa Cina jika pasaran yang ingin ditembusi ialah India,” katanya kepada Sinchew Daily.

Sebagai peniaga, Eng Hock berkata, pengilang mengharapkan pekerja dapat membantu syarikat mendapat keuntungan dan membuka pasaran baharu.

Katanya, pihak pengilang juga menyahut seruan kerajaan supaya mempelbagaikan komposisi kaum dalam kalangan pekerja mereka, melainkan untuk sesetengah jawatan yang sukar mencari calon yang sesuai.

Ujarnya, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik harus lebih berhati-hati ketika berhujah termasuk tidak bercakap sembarangan di hadapan pelajar yang ramai.

“Hujahnya tidak kena dengan tempat dan masanya kerana mengambil tempat di hadapan pelajar.

“Beliau boleh membangkitkan dalam mesyuarat Kabinet jika mahu membincangkan isu seperti ini,” katanya.

Menurutnya, tindakan menteri yang menolak tanggungjawab kepada majikan adalah tidak adil buat golongan itu.

Maszlee sebelum ini dilaporkan berkata: “Kerajaan hanya boleh mempertimbangkan kuota matrikulasi dihapuskan jika bumiputera yang tidak fasih bahasa Cina tidak ditolak permohonan pekerjaan.”

Kenyataan itu telah mengundang kritikan bertalu-talu daripada pemimpin politik khususnya DAP selain kolumnis akhbar Cina. – MalaysiaGazette