KUALA LUMPUR – Pengekalan kuota kemasukan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan adalah selari dengan matlamat asalnya semasa diperkenalkan bagi membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan pra-universiti.
Malah, jika dirujuk dari segi taburan demografi secara peratusan juga jelas menunjukkan Bumiputera merupakan bangsa majoriti di negara ini maka dalam konteks kuota pendidikan tinggi dalam negara wajar diberikan mandat kepada golongan ini.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib berkata, jika diimbau kembali program matrikulasi ini diperkenalkan
khusus untuk pelajar Bumiputera ekoran masalah ketidakseimbangan kaum di universiti sehinggalah Jemaah Menteri di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad meluluskan pada Jun 2002 dengan memperuntukkan 10 peratus kuota bagi pelajar bukan Bumiputera mulai sesi kemasukan 2003.
Menurutnya, UTeM menyokong penuh dalam isu pengekalan kuota kemasukan pelajar bagi program matrikulasi universiti awam ini bagi pemantapan usaha kerajaan.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pengambilan pelajar ke program matrikulasi ditambah kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 dengan kuota pelajar Bumiputera sebanyak 90 peratus dikekalkan.
Jelas Dr Shahrin, usaha ini adalah selari dengan perkembangan semasa dan aspirasi nasional bagi memastikan rakyat di negara kita terus menikmati kemakmuran dan kekayaan ekonomi di samping pertumbuhan positif sosio budaya dan masyarakat.
Katanya lagi, UTeM serta Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) turut menerima impak langsung menerima pelajar lepasan matrikukasi terutamanya Matrikulasi Teknikal dari seluruh negara.
Ternyata ekosistem ini sealiran secara langsung menyokong dasar kerajaan ke arah pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan
Vokasional (TVET) aras tinggi menerusi UTeM dan MTUN, di samping menyuntik perkembangan konsisten pengkayaan Sains, Tekologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam lingkaran pendidikan pelbagai peringkat dalam negara. – MalaysiaGazette