KUALA LUMPUR – Ibu beranak tujuh, Marsyila Zakaria terkilan dengan tuduhan warganet yang mengaitkan dirinya sebagai penagih dadah.
Wanita berusia 35 tahun yang kecewa dengan tuduhan itu mencabar mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai dirinya itu tampil mengemukakan bukti.
“Seorang pengguna Facebook komen bahawa dia kenal saya dan suami dan dakwa kami penagih dadah. Gunakan anak-anak untuk menagih simpati, masyarakat bagi barang dan jual untuk beli dadah.
“Saya cabar pengguna Facebook itu untuk buktikan pada saya rekod saya ambil dadah. Tolong buktikan, jangan fitnah saya,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.
Kisah Marsyila tular apabila berkongsi pengalaman berkongsi nasi berlauk garam selama tiga hari kerana tiada wang membeli makanan tahun lalu.
Malaysia Gazette antara media pertama yang melaporkan kehidupan serba kekurangan Marsyila yang membesarkan tujuh anak seorang diri.
Lebih menyedihkan, beliau pernah menebalkan muka mengetuk pintu rumah jiran untuk meminta telur yang digorengnya hancur-hancur bagi menukar selera mereka.
Dalam nada sebak, Marsyila tidak pernah berniat untuk menceritakan kesempitan hidupnya kepada umum, namun bersyukur kerana diberikan bantuan oleh masyarakat yang prihatin.
“Terima kasih kepada PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) sebab sudi taja baju raya kami sekeluarga dan juga kepada Datuk Aliff Syukri sebab bagi wang untuk perbelanjaan raya. Kepada saudara mara dan adik beradik, mereka bukan tidak membantu tapi saya yang tidak mahu meminta-minta.
“Orang timbulkan persoalan mana keluarga saya, kenapa mereka tidak membantu. Saya nak fahamkan masyarakat bahawa saya yang enggan ceritakan masalah saya kepada mereka, bukan salah orang sekitar, saya tidak mahu susahkan orang, saya lebih suka berdikari,” katanya.
Selain tuduhan pernah mengambil dadah, Marsyila turut diseret dengan tuduhan sesetengah warganet yang dia berjoli dengan duit bantuan yang diterima.
Justeru itu Marsyila minta agar warganet tidak membuat sebarang tuduhan lagi terhadap dirinya dan keluarga.
“Cuba bayangkan anda berada di tempat saya, saya tidak meminta-minta sebab sedar ada orang yang lagi sudah daripada saya. Saya kuatkan semangat dan rezeki saya jumpa dengan Malaysia Gazette sampai cerita ini viral.
“Ada nampak barang emas, baju cantik dan rumah lawa. Anak-anak baju anak saya tidak tertukar. Kenapa nak tuduh saya joli duit bantuan. Kalau kita susah, orang kena tolong,” katanya lagi.
Marsyila sebelum itu menerima kunjungan daripada Aliff yang juga usahawan dan selebriti terkenal.
Aliff yang hadir bersama isterinya, Datin Nur Shahida Mohd Rashid meluangkan masa kira-kira 45 minit bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kehidupan Marsyila.
Malah kedua-duanya mereka turut memberikan sumbangan berupa keperluan dapur dan wang tunai kepada Marsyilla dan anak-anaknya. -MalaysiaGazette
VIDEO BERKAITAN: