KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyeru seluruh umat Islam supaya menghayati hikmah peristiwa malam diturunkan al-Quran (Nuzul al-Quran) dan isi kandungan secara keseluruhannya.
Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, Islam amat menekankan pentingnya penghayatan dan kesedaran umatnya berbanding memaksa menjalankan ritual keagamaan tanpa memahami pesanan yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah Nabi.
“Yadim menggesa umat Islam supaya tidak terperangkap dengan retorik dan slogan indah yang tidak berpijak di alam nyata dan pada masa sama kita mengalami kekosongan dalam memahami isi kandungan al-Quran dan Sunnah itu sendiri.
“Ada segelintir dalam kalangan kita sibuk dengan ritual keagamaan seperti tidak pernah terlepas sembahyang lima waktu, rajin puasa sunat Isnin dan Khamis serta menyokong kehidupan Islamik.
“Pada masa sama mereka melanggar dan menyeleweng daripada prinsip dan kandungan al-Quran seperti taksub kepada kumpulan dan pemimpin tertentu, suka mengkafir dan menyesatkan orang Islam lain, tidak menghargai perbezaan pendapat, bertindak zalim, memfitnah, pecah amanah, rasuah dan sikap negatif lain,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Nuzul al-Quran, hari ini.
Nik Omar juga berharap slogan kembali kepada al-Quran dan sunnah dijadikan sebagai hujah untuk mengukuhkan perpaduan seluruh umat Islam tanpa mengira pegangan mazhab, aliran keagamaan dan pegangan politik.
“Umat Islam harus berhati-hati agar mereka tidak menjadi ejen kepada perpecahan umat. Sesungguhnya al-Quran menyediakan wahana dan tafsiran yang begitu luas yang memungkinkan berlakunya khilafiah,” katanya.
Katanya lagi, umat Islam perlu mengingati peristiwa itu sebagai pedoman dalam konteks mengukuhkan proses perhambaan kepada Allah SWT dan tatacara menyusun kehidupan bermasyarakat.
“Al-Quran membersihkan akal dan menyucikan jiwa dari segala bentuk syirik serta memantapkan keyakinan tentang keesaan yang sempurna bagi Tuhan sekalian alam.
“Ia mencipta kesatuan, bukan saja antara suku atau bangsa, tetapi kesatuan alam semesta, kesatuan kehidupan dunia dan akhirat, kesatuan ilmu, iman, dan hujah, kesatuan kebenaran, kesatuan keperibadian manusia, kesatuan kemerdekaan, kesatuan sosial, politik dan ekonomi.
“Ia mengajak manusia berfikir dan bekerjasama dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara dengan cara bermusyawarah dan mengelakkan perpecahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette