Home Sukan Nicol, Wee Wern mara ke pusingan kedua Terbuka British

Nicol, Wee Wern mara ke pusingan kedua Terbuka British

Nicol David
Nicol David

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara Datuk Nicol David mempamerkan aksi mantap untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka British 2019 di Hull England, Isnin (Selasa di Malaysia).

Nicol yang merupakan juara lima kali Terbuka British mengambil masa hanya 32 minit untuk menewaskan Ho Tze-Lok dari Hong Kong; dengan 11-7, 11-5 dan 13-11 dalam perlawanan pusingan pertama yang berlangsung di University of Hull Sports and Fitness Centre.

Pemain berumur 35 tahun dari Pulau Pinang yang akan bersara selepas kejohanan ini berkata, beliau amat gembira dengan kejayaan hari ini.

“Saya gembira dapat turun gelanggang dengan Terbuka British ini menjadi kejohanan terakhir saya, ia memang amat istimewa sekali, saya akan cuba sedaya upaya untuk beraksi dengan baik, menjadikan ia sebagai kenangan yang tidak dapat dilupakan.” katanya yang dipetik dari laman web kejohanan; www.britishopensquash.info.

Dalam pusingan kedua menentang pemain nombor tiga dunia, Nour El Tayeb hari ini, Nicol berkata, beliau akan melakukan yang terbaik walaupun akur bahawa beliau gagal menewaskan pemain dari Mesir itu dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

“Tiada apa yang nak dibimbangkan bagi saya, jadi saya hanya akan turun gelanggang dan menikmati sepenuhnya permainan nanti,” katanya.

Mengiringi Nicol ke pusingan kedua ialah bekas pemain nombor lima dunia Low Wee Wern yang menewaskan Fiona Moverley dari England; dengan 11-6, 11-3 dan 11-6.

Dalam kategori lelaki, kempen Malaysia tamat selepas dua pemain kebangsaan negara tewas dalam saingan masing-masing.

Bekas juara ramaja dunia Ng Eain Yow tewas 8-11, 10-12 dan 7-11 kepada Patrick Rooney dari England, manakala Ivan Yuen gagal melepasi Greg Lobban dari Scotland; dengan 10-12, 9-11, 12-10 dan 4-11. – MalaysiaGazette