Home Nasional Selangor kibar bendera separuh tiang – Amirudin Shari

Selangor kibar bendera separuh tiang – Amirudin Shari

Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan agar bendera Negeri Selangor dikibarkan separuh tiang bermula hari ini dan esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam satu kenyataan hari ini sebagai tanda menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar

“Merafak sembah takziah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat negeri Pahang atas kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan
Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan agar bendera Negeri Selangor dikibarkan separuh tiang bermula hari ini dan hari esok sebagai tanda menghormati kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah AlMusta’in Billah.

“Semoga roh Almarhum mendapat husnul khatimah, dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan di syurga penuh nikmat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi.

Khabar dukacita itu disahkan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media hari ini.

“Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah.

“Sehubungan itu, saya mohon rakyat jelata sekalian agar sama-samalah mendoakan semoga roh almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama para syhuhada,” katanya. – MalaysiaGazette