Home Nasional Kasihnya Almarhum buat Jalil – Raja Zarith

Kasihnya Almarhum buat Jalil – Raja Zarith

Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah

KUALA LUMPUR – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkongsi sikap prihatin dan penuh kasih-sayang yang tinggi dimiliki oleh Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam.

Raja Zarith memberitahu, Sultan Pahang kelima itu merupakan antara kerabat diraja yang paling kerap melawat Almarhum Tunku Abdul Jalil selepas disahkan menghidap kanser hati pada 2014.

“Kami tidak sangka Almarhum begitu memberikan perhatian dan kasihnya kepada anakanda kami, Jalil adalah seseorang yang baginda jarang jumpa dan kenali.

“Kami tidak boleh menafikan apa baginda telah lakukan kepada kami semua dan Jalil adalah sesuatu yang istimewa. Ketika Jalil hilang kekuatannya untuk melawan kanser setahun selepas itu, Almarhum datang ketika pemakamannya walaupun ketika itu kesihatannya sudah tidak sebaik dahulu,” titah baginda menerusi laman Facebook The Royal Johor sebentar tadi.

Raja Zarith turut menyifatkan Almarhum Sultan Ahmad Shah sebagai kerabat diraja yang sentiasa dekat di hati rakyat negara ini.

“Generasi muda Malaysia tidak akan tahu atau mengingati banyak perkara ketika masa sebelum internet dan media sosial. Ia ketika surat khabar dan berita televisyen sahaja menjadi medan perkongsian dan maklumat kepada kita.

“Tetapi sesiapa yang boleh ingat kembali kepada masa itu, mereka akan ingat ia bukan perkara yang luar biasa jika melihat gambar Almarhum Sultan Ahmad Shah berpakaian biasa dan duduk di lantai rumah kampung ataupun berbual dengan mereka yang sedang sakit ataupun memerlukan rawatan kesihatan.

“Bagaimanapun, Almarhum bukan berada di sana untuk memberikan nasihat kesihatan semata-mata, tetapi mahu memberitahu mereka itu yang mereka mempunyai simpati dan perhatian Sultan mereka,” kata baginda.

Raja Zarith bertitah, selain daripada hubungan erat bersama rakyat, Almarhum Sultan Ahmad Shah juga merupakan pemimpin paling awal yang turut padang yang mana jika membabitkan sebarang bencana atau musibah di Pahang.

“Jika ada sebarang bencana alam di Pahang, kebiasaannya banjir, pastinya Almarhum Sultan Ahmad Shah akan menjadi yang pertama di lokasi. Bagi keluarga saya di Perak, kami dah biasa melihat gambar baginda di surat khabar, sentiasa dengan rakyatnya.

“Itu yang bila kita lihat gambar baginda berada di kampung-kampung bukan perkara yang luar biasa,” titah Baginda lagi.

Dalam kenyataan sama, Raja Zarith turut menceritakan pelbagai pengalaman manis serta penghargaan yang ingin baginda terjemahkan terhadap budi baik yang dipersembahkan Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Ia termasuk pengaruh Almarhum dalam beberapa pengalaman hidup Permaisuri Johor itu sejak perkahwinan baginda dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Saya berusaha keras untuk memahami sensitiviti dan kerumitan protokol diraja dan siapa yang lebih senior, ayahanda saya adalah Sultan Perak dan bapa saya atau Almarhum Sultan Ahmad Shah anak saudaranya yang ketika itu adalah Yang di-Pertuan Agong. Ia bertambah rumit apabila ayahanda suami saya juga adalah seorang Sultan.

“Akhirnya, Almarhum sendiri yang duduk dahulu bersama rakyat dan membiarkan ayahanda saya atau bapa saudaranya memulakan majlis merenjis. Baginda abaikan protokol dan membuat keputusan sendiri walaupun ketika itu Baginda adalah Yang di-Pertuan Agong serta mempunyai hak untuk mendahului semua Sultan lain,” tulis baginda. – MalaysiaGazette