KUALA LUMPUR – Keluarga lans koperal polis, Mustaza Abdul Rahman, 32 mengharapkan ada sinar baru bagi Aidil Fitri kali ini buat mereka sekeluarga.
Menurut bapanya, Abdul Rahman Abd Hamid, 65, beliau mengharapkan agar anaknya itu bebas tidak lama lagi atas pertuduhan membabitkan perbuatan pengganas Daesh, dua tahun lalu.
Katanya, sejak ketiadaan anaknya itu, kesihatan dirinya terganggu sehingga disahkan menghadapi sakit jantung baru-baru ini.
“Bila teringat dia, saya hadapi kesukaran untuk bernafas. Saya rasa amat sedih sebab generasi kami semua jadi polis, dan Mustaza adalah generasi ketiga yang jadi polis.
“Kita merasa kami teraniaya, kalau ikut undang-undang polis kena bagi amaran, ini tidak mereka terus tangkap anak saya dan ditahan 28 hari. Saya pun tak tahu keadaan anak saya sebab tidak boleh jumpa dia. Saya rasa amat sedih sebab anak saya ditahan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Mustaza sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 2017 atas tiga pertuduhan.
Antaranya memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas, sengaja tidak memberi apa-apa maklumat berkenaan dengan kesalahan berkaitan pengganas, dan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara melakukan sumpah setia (berbai’ah) melalui aplikasi Telegram.
Hukuman itu dijatuhkan selepas mendapati Mustaza gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mengulas lanjut, abang sulung kepada Mustaza, Mahathir Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mengesan mahupun nampak perubahan yang dilakukan oleh Mustaza dan percaya adiknya tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Karektor dia tidak nampak perubahan, mesra dengan orang. Ramai kawan di Keramat kenal dia, dia suka bantu orang malah jumpa kucing kurap pun dia bawa balik rumah.
“Nak kata perubahan karektor semasa dia ditangkap, tiada ada perubahan langsung,” katanya.
Mahathir yang juga Pengerusi NGO Keluarga Mangsa Fitnah SOSMA berkata, keluarga telah membelanjakan kira-kira RM100,000 untuk pembiayaan khidmat guaman dan pelbagai perbelajaan sewaktu melawat Mustaza.
Tambah beliau, ketiadaan Mustaza pada setiap kali Syawal menyebabkan ada kekosongan dalam keluarga beliau yang gagal diisi oleh ahli keluarga yang lain.
“Kami rasa tiada kesempurnaan sebab Mustaza seorang yang manja dan susah nak marah. Bila nak raya mesti teringatkan dia.
“Bila dia tidak ada, kami terasa kehilangan dia. Apa yang kami harap, Aidilfitri kali ini kami dapat bersama dia sambut raya.
“Kami mengharapkan dengan kerajaan baharu ini, mahkamah boleh berfungsi dengan adil dan saya pasti jika mahkamah dengan adil, saya pasti adik saya akan bebas,” katanya lagi.
Untuk rekod, ini tahun ketiga Mustaza dipenjarakan selepas ditangkap pada 29 Jun 2016. -MalaysiaGazette.