PEKAN – Pahang berduka. Suasana daerah ini muram di atas pemergian Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah.
Suasana di Balairung Seri Istana Abu Bakar kini diselubungi suasana hiba dengan kehadiran rakyat jelata yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.
Buat masa ini, ayat suci al-Quran dibacakan oleh kira-kira 100 pelajar tahfiz dari sekitar Kuantan dan Pekan.
Kelihatan rakyat jelata yang menziarahi jenazah Almarhum turut membacakan surah Yasin.
Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan selepas solat Zohor.
Almarhum merupakan Sultan Pahang kelima memegang tampuk pemerintahan negeri selama 45 tahun menyerahkan kuasa kepada anakanda Baginda, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang juga Yang di-Pertuan Agong, pada 12 Januari lalu ekoran keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 8.50 pagi semalam.
Jenazah baginda tiba di Pangkalan Udara Kuantan pada 7.25 petang semalam dengan menaiki pesawat khas sebelum dibawa ke Istana Abu Bakar. – MalaysiaGazette