PEKAN – Suasana pilu mengiringi perjalanan terakhir Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Almad Shah Al-Mustain Bullah yang selamat disemadikan di Makam Diraja Pekan kira-kira pukul 4.35 petang.
Perjalanan membawa keluar jenazah Almarhum dari Istana Abu Bakar dimulakan dengan 88 das tembakan di perkarangan bangunan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini oleh Pasukan 41 Rejimen Artileri DiRaja, Sungai Buloh, Selangor.
Jumlah 88 das tembakan itu adalah simbolik kepada usia baginda mangkat, iaitu 88 tahun.
Tembakan meriam itu bermula sejurus jenazah yang bermula dari Istana Sultan Abu Bakar hingga ke Makam Diraja Pekan, Pahang.
Jenazah dibawa menaiki van diiring anakanda Almarhum, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah diarak sejauh 2.2 kilometer.
Kemudian jenazah sekali lagi disembahyangkan oleh rakyat jelata dan diimamkan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.
Jenazah Almarhum disemadikan bersebelahan pusara isteri baginda Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan Tengku Muhammad, yang mangkat pada 29 Jun, 1988.
Ketika talkin dibacakan, Sultan Abdullah dilihat tidak dapat membendung air mata, begitu juga dengan kerabat di raja yang lain.
Terdahulu orang ramai diberi peluang menziarah dan memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah mulai jam 10 malam tadi sehingga 11 pagi tadi.
Selepas jam 11 pagi, orang kenamaan terdiri daripada kerabat diraja akan memberikan penghormatan.
Antara perkenan berangkat ke Istana pagi tadi ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah; Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah; Sultan Johor Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; selain Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.
Turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; selain Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Rosmah Mansor.
Penggiat seni tanah air yang berkunjung di Istana Abu Bakar ialah Datuk Aaron Aziz, Datuk Nassier Wahab, Datuk Seri Shah Rezza dan Jamal Abdillah.
Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah yang pernah menjadi Sultan Pahang selama 45 tahun mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) 8:50 pagi Rabu.- MalaysiaGazette