PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) meletakkan prestasinya sebanyak 63.15 peratus berdasarkan pelaksanaan 19 inisiatif dan tanggungjawabnya.
Menteri Dalam Negeri, Tan sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian tersebut walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki.
Katanya, pencapaian itu menunjukkan komitmen warga KDN dalam memenuhi janji-janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya memastikan tanggungjawab kementerian itu dalam memelihara keselamatan keamanan dan ketenreman awam ditunaikan.
“Usaha yang berterusan perlu dilaksanakan terutamanya dalam mempertingkatkan usaha mengurangkan kadar jenayah yang sentiasa menjadi keutmaaan kita.
“Ini juga termasuk usaha-usaha untuk menangani isu pendatang tanpa izin, mengurangkan kadar relaps dan residivis, mengawal sempadan darat dan kawasan maritim negara serta reformasi dan kajian terhadap undang-undang yang berkaitan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Penerapan Nilai-Nilai Murni KDN di sini hari ini.
Hadir sama pada program itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin, Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
Muhyiddin menambah, seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto PH, KDN telah meluluskan taraf kewarganegaraan kepada 2,516 warga emas berumur 60 tahun ke atas yang memenuhi syarat-syarat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, seiring dengan janji untuk meningkatkan integriti dan ketelusan, KDN juga telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai penemuan kem sementara dan kubur di Wang Kelian Perlis.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, dari segi prestasi kementerian secara keseluruhan bagi bulan Mac KDN telah mencapai tahap 92.11 peratus.
Jelasnya, ia merupakan indikasi bagi tiga bulan pertama tahun ini dengan indeks jenayah bagi 100,000 orang penduduk kekal rendah iaitu 61.26 peratus berbanding sasaran sebanyak 66.52 peratus. – MalaysiaGazette