KUALA LUMPUR – Alasan kedudukan kewangan negara yang tidak mengizinkan untuk diberikan ‘duit raya’ merupakan alasan yang tidak dapat diterima oleh peneroka.
“Kenapa BN boleh bagi? Kerajaan yang dikatakan rasuah boleh bagi ‘duit raya’ tapi kerajaan yang kononnya bersih tak mampu bagi ‘duit raya’. Sudah jadi terbalik.
“Sepatutnya kerajaan yang rasuah yang tak mampu kerana hasil FELDA dijaras dan dirompak… mana lagi ada duit untuk diagih tapi sebaliknya berlaku. Kerajaan yang tak rasuah (kononnya) tapi tak mampu bagi ‘duit raya’. Siapa perompak sebenar ini?” soal Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini.
Naib Presiden UMNO berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamad Azmin Ali tiada ‘duit raya’ untuk peneroka FELDA.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, ketika pemerintahan BN, FELDA mampu memberikan duit raya RM450 atau RM500 dan duit bonus RM350 yang akan meringankan keluarga peneroka menjelang Aidilfitri.
“Peneroka menunggu-nunggu duit raya kerana memang setiap tahun mereka terima duit raya dan bonus raya. Lebih-lebih lagi di dalam waktu harga sawit yang rendah sekitar RM350 setiap tan untuk buah tandan segar seperti ini mereka sangat mengharapkan pemberian duit raya tersebut. Ditambah dengan kenaikan kos barangan di pasaran menambah perit mereka,” katanya.
erajaan Barisan Nasional sebelum ini walau apa kedudukan kewangan Felda tetap mereka diutamakan terutama dalam keadaan kos sara hidup yang makin meruncing menjelang Syawal yang setidaknya ada sedikit saguhati untuk mereka berbelanja dalam persiapan raya.
Apa yang pasti, katanya, peneroka telah melakukan kesilapan yang besar apabila memilih Pakatan Harapan (PH).
“Tambah menyedihkan duit raya dan bonus yang diterima setiap tahun masih seperti di dalam mimpi yang tak menjadi nyata,” katanya.
“Pendapatan mereka hari ini kadang-kadang kurang RM700 dan ada yang hanya berbaki RM50 selepas di tolak hutang, upah ladang, sewa lori, baja dan lain-lain.
“Dulu sewaktu BN memerintah segala pembayaran hutang ditangguhkan jika pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan tapi hari ini walaupun pendapatan kurang namun potongan hutang tetap dikenakan,” katanya.
Katanya, beliau bersama rakan-rakan pembangkang telah membawa perkara itu dalam parlimen untuk pihak kementerian mengkaji cadangan supaya menangguhkan potongan hutang jika pendapatan kurang dari RM1,500 yang akhirnya menteri berjanji untuk menangguhkan pembayaran hutang namun pendapatan mereka tetap dipotong untuk pembayaran hutang.
“Jika diikutkan janji Pilihan Raya-14 PH berjanji untuk hapuskan hutang, namun sekarang bukan sahaja hutang tidak dihapuskan tapi pendapatan kurang RM1,500 pun hutang tetap dipotong.
“Bagi peneroka yang sedang tanam semula. Pinjaman Sara Hidup sewaktu Kerajaan BN sebanyak RM1,500 sebulan. Walau bagaimana pun kadar tersebut dikurangkan kepada RM1,000 selepas PH ambil alih pemerintahan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tidak ada duit raya buat peneroka felda setakat ini – Azmin Ali