PUTRAJAYA – Sebanyak 58 kawasan panas bencana lemas telah dikenalpasti dan dipantau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri 5 Jun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, terdapat penambahan daripada segi kawasan panas untuk mengedukasi dan menasihatkan orang ramai yang pulang berhari raya supaya mengutamakan keselamatan sepanjang masa.
“Ada 19 kawasan panas berisiko tinggi dan 39 kawasan panas berisiko sederhana yang dikenalpasti sebagai bencana risiko lemas dan akan dipantau rapi pasukan bomba dan akan menasihatkan orang ramai menerusi risalah.
“Cuma kita ingatkan sekali lagi kerana orang akan terlupa disebalik keterujaan pulang ke kampung halaman beraya dan kami perlu ingatkan tentang ‘hotspot’ lemas supaya berhati hati semasa bercuti dan bermandi manda bersama keluarga sepanjang cuti perayaan,” katanya kepada pemberita diiringi Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Terdahulu mereka hadir melancarkan Kempen Keselamatan dan Ops Raya 2019 di Pusat Membeli Belah IOI City Mall di sini.
Ops Selamat dan Raya 2019 akan bermula 29 Mei hingga 13 Jun ini yang akan dikordinasikan oleh Polis Diraja Malaysia bersama agensi kerajaan yang lain di seluruh semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun sebagai kesiapsagaan menghadapi bencana dan tragedi sepanjang musim perayaan ini, hanya 20 peratus daripada jumlah seramai 14,000 anggota bomba di seluruh negara dibenarkan bercuti.
Manakala katanya, 10,000 daripada mereka akan terlibat tugas bersiap sedia sepanjang musim perayaan ini untuk menghadapi sebarang bencana.
“Kalau ikutkan sebenar memang 14,000 anggota keseluruhan itu tidak mencukupi dan ada kekosongan lagi. Cuma penambahan anggota baharu bergantung kepda pembinaan balai bomba baharu,” tegasnya lagi.
Katanya, seperti dinyatakan bomba dalam kenyataan majlis itu, 10 pegawai satu jentera bomba dan satu jentera Skuad Bertindak Perubatan Kecemasan (EMRS) dilengkapi peralatan pemadaman dan menyelamat ditugaskan di setiap lokasi sepanjang Ops Selamat ke15 kali ini.
“Maka keseluruhannya seramai 170anggota pegawai, 17 unit jentera pemadam api dan 17 unit jentera EMRS akan terlibat rondaan dan pemantauan bencana termasuk di lenbuh raya setiap masa sepanjang musim perayaan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette