PUTRAJAYA -Rakyat khususnya mereka yang tinggal di bandar dinasihatkan supaya jangan mengambil remeh soal keselamatan kebakaran setiap kali musim perayaan.
Komuniti bandar perlu peka dengan mengambil dalam program komuniti mengenai keselamatan kebakaran atau bencana di rumah dan persekitaran yang dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk pada musim sambutan Aidilfitri kali ini.
“Jangan disebabkan duduk dibandar take for granted dan anggap tiada masalah dan ada kecemasan 999 untuk dapatkan bomba jika berlaku apa apa,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin semasa berucap melancarkan Kempen Keselamatan dan Ops Raya 2019 diĀ IOI City Mall hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan wakil IOI City Mall ke majlis yang turut disampaikan kit dan risalah garis panduan mencegah kebakaran kepada pengunjung orang awam.
“Kikis tanggapan itu dan ambil maklum setiap input dan program keselamatan yang diberikan pihak bomba untuk mengetahui bagaimana menyelamatkan keadaan ketika berdepan kebakaran di kediaman.
“Ia satu perkara yang boleh membantu kita mempersiapkan diri menghadapi segala situasi tidak mengizinkan tidak kisah pada hari biasa atau musim perayaan ketika meninggalkan kediaman ke kampung halaman untuk tempoh lama,” kata Zuraida.
Ahli Parlimen Ampang itu menyeru orang ramai supaya peka dengan langkah langkah keselamatan yang disyorkan bomba sebelum meninggalkan kediaman masing masing.
Nasihat beliau lagi, tuan rumah atau premis harus memeriksa sekali dua memastikan suis dan peralatan elektrik seperti gajet elektronik serta dapur gas sentiasa ditutup dan tidak mudah terdedah kepada risiko bencana.
“Mereka yang memandu ke kampung halaman untuk tempoh lama jangan memandu dalam keadaan mengantuk dan penat.
“Kalau kemalangan di jalan raya atau di rumah bomba tahu cara menanganinya seperti padam api, kebakran, tangakp monyet, ular, atau menyelematkan mangsa terperangkap dalam kemalangan, tetapi untuk mengantuk mereka belum ada penawaran.
“Saya rasa mereka (bomba) perlu mengeluarkan spray atau penyembur estinguisyer untuk orang yang mengantuk pula” katanya secara berjenaka sambil menasihatkan orang ramai memandu secara berhemah dengan mengambil peduli keselamatan diri dan pengguna lain di atas jalan. – MalaysiaGazette