KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Don Daniyal Don Biyajid atau lebih dikenali dengan sapaan Ustaz Don menyarankan umat Islam agar merebut ganjaran besar pada 10 malam terakhir yang bermula semalam.
Beliau turut memberi nasihat agar sentiasa menjaga kesihatan kerana hendak berlumba-lumba melakukan ibadat pada waktu malam.
Katanya, latihan juga diperlukan untuk menghidupkan 10 malam terakhir.
“Selain itu, jangan pandang remeh amalan yang mudah contoh zikir sebab ada hendak hidup malam baca al-Quran sampai 30 juzuk.
“Kalau boleh baca surah lazim atau surah biasa-biasa pun ok.
“Akhir sekali, biasakan sebut empat perkara ini betulkan tauhid, minta maaf kepada Allah, minta dimasukkan ke dalam syurga dan jauhkan dari api neraka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tanggungjawab Sosial Korporat Kinrara Resort bersama anak-anak yatim baru-baru ini.
Ditanya budaya umat Islam yang suka membeli-belah pada saat akhir terutama pada waktu malam hingga mengabaikan ibadat pada 10 malam terakhir beliau mengakui realiti itu.
Kata beliau, pastinya kehangatan sambutan Aidilfitri lebih dirasai di akhir Ramadan namun umat Islam boleh membahagikan aktiviti dan ibadat secara seimbang.
“Umat Islam dijangka menyambut Hari Raya pada hari Rabu iaitu pada 5 Jun nanti. Jadi sebelum hari Rabu itu, ada cuti hujung minggu dua hari Sabtu dan Ahad.
“Tidak apa hendak membeli-belah tapi pergi pada waktu siang hari dua hari itu dan pada malamnya pulun buat amal ibadat,” katanya. – MalaysiaGazette