LANGKAWI – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menarik lebih banyak pelaburan asing untuk meningkatkan ekonomi negara dan seterusnya mengukuhkan ringgit.
Beliau mengakui bahawa perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China turut memberi kesan kepada ringgit, namun berpendapat perkara itu boleh dielak sekiranya negara tidak terlalu bergantung kepada import dari negara luar.
Katanya perang perdagangan memberi kesan yang menyebabkan ringgit menjadi lemah, tetapi sekiranya negara dapat bebas daripada import yang banyak, perkara itu dapat dielakkan.
“Umpamanya kalau kita keluarkan sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, ternakan dan sebagainya kita tidak bergantung kepada bekalan dari negara lain, inshallah kita akan dapat kukuhkan serta tingkatkan ekonomi negara kita, apabila ekonomi sihat maka ringgit akan menjadi lebih sihat.
“Dalam jangka pendek kita cuba tarik pelaburan dari luar negeri, untuk ini kita perlu bekerja tetapi malangnya kita tidak boleh dapat pekerja dari negara sendiri, kita terpaksa bergantung kepada pekerja asing dan apabila kita bergantung kepada pekerja asing merekalah yang dapat nikmat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) Peringkat Langkawi kepada 48 penerima di Kompleks Angkatan Pertahan Awam (APM) Daerah Langkawi di sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Juhari Bulat dan ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad.
Mengulas mengenai pekerja asing, Dr Mahathir yang juga Anggota Parlimen Langkawi berkata kerajaan berusaha untuk mengurangkan kebergantungan itu namun rakyat negara ini juga perlu memainkan peranan dengan tidak begitu memilih kerja.
“Kita nak hapuskan pekerja asing tetapi tak dapat sebab orang kita tak sanggup bekerja, dalam restoran tak sanggup di supermarket tak sanggup. Yang berat-berat saya tahulah tak sanggup tetapi di restoran berhawa dingin pun tak mau kerja juga, di supermarket pun tak mau kerja.
“Saya tahu rakyat tak mahu dan tak berani nak naik rumah tinggi sampai 30 atau 40 tingkat, takut pening kepala, takut nak jatuh jadi tak payah kerja yang macam itu susah, jadi yang senang-senang kita buatlah,” katanya.
Dr Mahathir turut menyatakan komitmen kerajaan untuk menangani kebergantungan kepada pekerja asing dengan menawarkan latihan kepada rakyat negara ini bagi menjadikan mereka lebih cekap.
“Kita akan bagi latihan supaya mereka lebih cekap kita juga ingin mereka sedikit sebanyak kuasai Bahasa Inggeris sebab pelabur bercakap dalam bahasa itu,” katanya.
— BERNAMA