Home Nasional 2 nelayan hilang ditemui mati

2 nelayan hilang ditemui mati

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak diiringi Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Ir. Mohizam Ibrahim melawat jeti nelayan pada Program Jom Bantu Rakyat Kuala Selangor di Jeti Nelayan Sungai Sembilang, Jeram, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Dua mayat ditemui di perairan Batu Pahat dan Sungai Tampok pagi tadi menamatkan teka teki kehilangan dua nelayan sejak Khamis yang lalu.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, mayat pertama ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Zon Maritim Batu Pahat, kira-kira 23.5 batu nautika arah barat laut dari lokasi nelayan terbabit dipercayai hilang.

Tambahnya mayat kedua ditemui kira-kira tujuh batu nautika arah barat laut dari lokasi nelayan berkenaan dipercayai hilang.

“Mayat (yang ditemui 8:15 pagi) dipercayai seorang daripada dua mangsa hilang itu dibawa ke jeti Zon Maritim Batu Pahat bagi tujuan pengecaman dan pengesahan keluarga mangsa sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, untuk bedah siasat.

“Mayat kedua pula ditemui terapung di kedudukan kira-kira satu batu nautika barat daya Sungai Tampok pada jam 9.50 pagi tadi oleh nelayan tempatan yang turut menyertai pencarian,” katanya.

Dalam kejadian jam 5.30 petang Khamis lalu dua nelayan, Mohd Khir Ismail dan rakannya, Yusni Mohd Yusof masing-masing berusia 36 gagal dikesan selepas ke Pulau Pisang.

Kedua-dua mereka dipercayai hilang selepas menaiki bot untuk menjaring ikan, selain mengambil stok air minuman dari sebuah kapal tersadai yang dilaporkan rosak di Pulau Pisang sejak awal Ramadan lalu.-MalaysiaGazette