Home Nasional Ambil dadah elak ngantuk – Pemandu lori

Ambil dadah elak ngantuk – Pemandu lori

KUALA LUMPUR – Untuk kekal segar dan tidak mengantuk, seorang pemandu lori yang membawa buah mengaku mengambil dadah.

Pemandu berusia 46 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas disahkan positif dadah ketika ditahan bersama kelindannya semasa Op Perdagangan awal pagi hari ini.

Dalam operasi tersebut pihak polis mengeluarkan 2,175 notis saman terhadap 1,917 pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain kesemua kenderaan itu terdiri daripada 1,320 lori, 216 bas, 332 van, dan 49 teksi dengan sebanyak 1,773 kesalahan dicatatkan.

Seramai sembilan lelaki berusia 19 hingga 46 tahun ditahan selepas didapati positif dadah hasil ujian air kencing dalam operasi yang sama.

“Semasa operasi ini, kami juga dapat mengesan sembilan individu yang didapati positif dadah. Lapan daripada mereka melibatkan dadah jenis syabu manakala seorang lagi dadah jenis ganja,” kata Mohd Nadzri.

Jelasnya lagi, kesalahan lain termasuk pandu melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit, tiada lesen memandu dan tiada lesen kenderaan perdagangan (GDL).

Operasi bermula jam 10.30 malam dan berakhir jam 3 pagi Ahad. – MalaysiaGazette