Home Nasional Lebih 2,000 saman terhadap pemilik kenderaan dalam Ops Perdagangan

Lebih 2,000 saman terhadap pemilik kenderaan dalam Ops Perdagangan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,175 saman dikeluarkan polis terhadap 1,917 pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan semasa Ops Perdagangan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Plaza Tol Sungai Besi arah utara di sini, bermula Khamis hingga malam tadi.

Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber) JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi berkenaan dijalankan pihaknya bermula 8 malam hingga 12 tengah malam dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

“Sebanyak 1,917 pemilik kenderaan tersebut terdiri daripada 1,320 pemandu lori, 216 pemandu bas, pemandu van sebanyak 332 dan juga teksi (49) yang merangkumi 1,773 kesalahan seperti memandu melebihi had laju, tidak mempunyai lesen memandu, penggunaan telefon dan kesalahan berkaitan nombor plat kenderaan,” katanya kepada pemberita di Plaza Tol Sungai Besi arah utara, di sini awal pagi tadi.

Katanya, sebanyak 2,370 Ops Perdagangan telah dijalankan JSPT sejak awal tahun ini sehingga April lepas di sekitar kawasan lebuh raya PLUS.

“Menerusi operasi tersebut, kita keluarkan 60,660 saman terhadap pemilik lori dan 7,589 saman pula terhadap pemilik bas,” katanya.

Susulan operasi itu, beliau berkata, sebanyak 14 alat pengesan kelajuan telah ditempatkan di sepanjang lebuh raya PLUS.

Tambahnya, operasi berkenaan dijalankan bagi memberi fokus kepada pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol, kenderaan perdagangan yang membawa muatan secara bahaya dan kesalahan parkir di lorong kecemasan.

Mengulas lanjut mengenai operasi malam tadi, Mohd Nadzri berkata Ops Perdagangan turut dibantu oleh AADK yang menahan sembilan lelaki yang didapati positif ujian air kencing.

Kesemua tahanan itu berusia lingkungan 19 hingga 46 tahun dengan lapan daripadanya positif dadah jenis syabu manakala seorang lagi positif ganja.

“Mereka akan dibawa ke ibu pejabat AADK, di sini, untuk siasatan selanjutnya,” jelasnya. – Bernama