Home Nasional Perintah berkurung di Esszone dilanjutkan

Perintah berkurung di Esszone dilanjutkan

ESSZone. Gambar Hiasan

KOTA KINABALU – Perintah berkurung dari jam 6 petang sehingga 6 pagi di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 10 Jun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pelanjutan perintah berkurung itu perlu dilaksanakan berikutan ancaman berterusan daripada penjenayah-penjenah rentas sempadan termasuk daripada kumpulan-kumpulan penculik.

Perintah berkurung tersebut meliputi kawasan-kawasan sehingga tiga batu nautika dari Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Terdapat keperluan untuk melaksanakan perintah berkurung di perairan-perairan tersebut bagi menghalang aktiviti pengganas dan penjenayah yang boleh mengancam keselamatan penduduk tempatan, penyelidik asing serta pelancong di pulau-pulau berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Omar, perintah berkurung itu akan memudahkan agensi penguatkuasaan memantau aktiviti bot-bot di kawasan tersebut di samping memberikan rasa selamat kepada pemilik-pemilik chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberikan kuasa kepada semua ketua-ketua polis daerah untuk mengeluarkan permit kepada semua pemohon yang layak dan memenuhi kriteria untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan-kawasan yang terlibat dengan perintah berkurung.

Perintah berkurung dilaksanakan buat pertama kali pada 19 Julai 2014 selepas berlaku banyak kejadian culik dan bunuh termasuk insiden seorang lelaki Sarawak, Bernard Then Ted Fed yang dipenggal kepala.- MalaysiaGazette