PUTRAJAYA- Kerajaan masih belum membuat kajian mengenai kaedah untuk menurunkan kadar bayaran tol kepada 20 peratus seperti yang dinyatakan oleh bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin baru-baru ini.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, apa yang dinyatakan oleh Daim hanyalah sebuah pendapat peribadi sahaja.
“Itu pendapat peribadi Tun Daim tetapi kita belum kaji bagaimana hendak turunkan bayaran tol sebanyak 20 peratus sahaja sebab saya tidak tahu berapa banyak yang boleh kita kutip,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2019 di Kementerian Kewangan hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Tambah Perdana Menteri, kerajaan memang ada menerima pelbagai cadangan untuk mengurangkan kadar bayaran tol daripada pihak swasta bagaimanapun jumlah tersebut tidak sampai pengurangan sehingga 20 peratus seperti yang dinyatakan oleh Daim.
Namun begitu, kesemua cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan itu masih belum dimuktamadkan, katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir sekali lagi mengakui kerajaan tidak mampu untuk menghapuskan kutipan tol di negara ini meskipun pernah membuat janji sedemikian sebelum memenangi pilihanraya ke-14 yang lalu.
Katanya, kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan yang tinggi sekiranya kutipan tol di lebuh raya-lebuh raya di negara ini dihapuskan.
“Rakyat memang lega tetapi kerajaan yang tidak lega,” ujar beliau lagi.
Sebelum ini, Dr. Mahathir dalam temubual sempena setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan mengakui baru tersedar yang penghapusan tol akan menyebabkan tanggungan kewangan kerajaan semakin bertambah berat.
Ini berikutan bayaran pampasan akibat pengambil alih lebuh raya bertol dari syarikat-syarikat konsesi selain perlu menanggung kos penyelenggaraan lebuh raya berkenaan.- MalaysiaGazette
Baru sedar tidak mampu hapus tol- Dr Mahathir
https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/26/kerajaan-perlu-tumpu-selesaikan-isu-kos-sara-hidup/