KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini menetapkan 3 September ini sebagai tarikh perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang melibatkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris berkata, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh tersebut semasa proses pengurusan kes berkenaan pagi tadi.
Tengku Adnan hadir ke mahkamah jam 8.30 pagi tadi dengan menaiki kereta Kenderaan Pelbagai Guna (MPV), Toyota Estima.
Mahkamah turut menetapkan Ahli Parlimen Putrajaya itu akan dibicarakan dari 4 hingga 5 September dan 10 hingga 12 September ini.
Firdaus turut memberitahu mahkamah pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen mahkamah kepada tertuduh mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.
Menurutnya, pihak pendakwaan berkemungkinan memanggil sehingga 30 saksi untuk tampil memberi keterangan.
“Saya tidak boleh menyatakan berapa ramai (saksi), tapi dianggarkan mungkin 20 hingga 30 orang saksi untuk hadap ke mahkamah memberi keterangan nanti,” katanya disini.
Beliau turut mengesahkan mahkamah menetapkan 16 Ogos sebagai tarikh sebutan lanjut kes tersebut.
Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN diwakili oleh peguambela, Datuk Tan Hock Chuan.
Semasa dihadapkan ke Mahkamah pada 15 November lalu, beliau mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan menerima suapan berbentuk wang RM1 juta.
Tengku Adnan didakwa menerima wang itu daripada seorang ahli perniagaan, Tan Eng Boon, melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan) sebagai tindakan bagi dirinya untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan nisbah plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada 27 Disember 2013.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette