KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan menyangkal dakwaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak peka dengan pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Seri Alam, Masai, Johor.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, dakwaan pembinaan sekolah itu sengaja dilewatkan seperti yang tular viral dalam media sosial adalah tidak berasas.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan sentiasa komited dan berusaha memastikan pembangunan fasiliti pendidikan sedia mengikut masa yang ditetapkan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
“Pembinaan SJKT Bandar Seri Alam telah siap 95 peratus dan hanya menunggu baki kerja-kerja berkaitan sistem pembentungan untuk disiapkan sepenuhnya.
“Ia dijangka diserahkan untuk beroperasi sepenuhnya pada Disember 2019,” kata beliau dalam kenyataan.
Tambah beliau, kelewatan berlaku kerana masa diperlukan untuk menutup jalan masuk sementara yang merentasi tapak pembinaan SJKT tersebut yang disediakan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini untuk pembinaan projek perumahan di kawasan tersebut.
“KPM mahu memastikan laluan sementara itu ditutup dari awal lagi sebagai menjamin sekolah yang disediakan adalah sempurna dan bebas daripada sebarang isu kelak.
Selain itu, katanya, projek tersebut masih dalam proses mendapatkan kelulusan daripada Indah Water Konsortium (IWK) bagi sistem pembentungan yang berkait rapat dengan infrastruktur yang disediakan oleh pemaju perumahan kawasan terbabit.
“Pihak kontraktor telah menyediakan kerangka penyelesaian jangka pendek untuk tujuan ini dan telah pun mendapat kelulusan IWK,” katanya.
Bagaimanapun katanya, IWK pusat mengenakan syarat berkaitan sistem pembentungan itu dan kelulusan masih dinantikan kerajaan.
Menurut beliau, KPM juga telah memohon kerjasama IWK supaya menyegerakan kelulusan sistem pembentungan agar projek sekolah berkenaan disiapkan secepat mungkin. – MalaysiaGazette