Home Ekonomi Misi perdagangan, pelaburan Amerika Latin jana pelaburan RM840j

Misi perdagangan, pelaburan Amerika Latin jana pelaburan RM840j

MIT

KUALA LUMPUR – Misi perdagangan dan pelaburan Malaysia ke Amerika Latin baru-baru ini, menjana potensi jualan sebanyak RM29.1 juta dalam lapan sektor dan pelaburan bernilai RM840 juta dalam sektor pembuatan dan pengedaran serantau.

Lapan sektor itu ialah teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan Internet of Things (IoT), integrasi sistem, reka bentuk dan perundingan proses, produk elektrik, jentera, agro makanan, pendidikan dan perkhidmatan lain.

Diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking, misi perdagangan dan pelaburan itu melibatkan lawatan ke Santiago, Chile; Buenos Aires, Argentina; serta Brasilia dan Sao Paulo, kedua-duanya di Brazil. Misi terakhir Malaysia ke Brazil adalah pada 2007 dan Chile pada 2016.

Menteri diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Madani Sahari dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Sebanyak 10 wakil Malaysia dari tujuh syarikat turut menyertai misi tersebut mewakili lapan sektor.

MITI dalam kenyataan hari ini berkata Leiking dan delegasi tersebut mewujudkan semula hubungan dengan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan dan bersetuju untuk mengukuhkan perdagangan dua hala dan hubungan ekonomi melalui platform seperti perjanjian perdagangan, perjanjian kerjasama pelaburan dan meninjau kemungkinan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Mercosur.

Mercosur adalah blok ekonomi dan politik yang terdiri daripada Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay.

MITI berkata perbincangan turut diadakan dengan dewan perniagaan dan persatuan serta syarikat.

Dalam misi itu, Leiking dan delegasi mempromosikan Malaysia sebagai hab serantau dan batu loncatan ke pasaran ASEAN, menekankan manfaat yang besar daripada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Rundingan RCEP yang sedang berlangsung dijangka akan dimuktamadkan pada akhir 2019.

Selain sektor tradisional seperti runcit, perabot, minyak sawit serta elektrik dan elektronik, Malaysia turut menawarkan untuk bekerjasama dan berkongsi kepakaran dengan Chile, Argentina dan Brazil dalam sektor Industri 4.0, robotik, IoT, automotif serta komponen dan alat ganti aeroangkasa, selain dalam industri halal.

Sempena dengan misi ke Brazil, seminar mengenai “Peluang Perniagaan di Malaysia sebagai Pintu Masuk ke ASEAN” turut diadakan di Sao Paulo pada 23 Mei, 2019.

Seminar itu telah menarik sebanyak 157 peserta dari sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Sebanyak 56 pertemuan perniagaan telah diadakan antara tujuh syarikat Malaysia dan 42 syarikat Brazil.

Seminar tersebut menekankan peluang perdagangan dan pelaburan serta prospek dalam kerjasama perniagaan di Malaysia. – BERNAMA