NEW YORK – Harga minyak naik lebih daripada 1 peratus dalam dagangan hari ini disokong oleh ketegangan di Timur Tengah dan pengurangan bekalan dari OPEC, selain gangguan minyak berterusan dari Rusia selepas masalah pencemaran pada bulan lalu.
Pengurangan bekalan secara sukarela oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu termasuk sekatan oleh Amerika Syarikat mendorong harga minyak mentah Brent, penanda aras global, naik kira-kira 29 peratus pada tahun ini.
Brent diniaga pada harga AS$70.11 setong, meningkat AS$ 1.42, atau 2.07 peratus, selepas susut kira-kira 4.5 peratus pada minggu lepas.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate naik AS$0.59 sen, atau 1 peratus kepada AS$ 59.24 setong pada pukul 1:52 pagi. EDT (1752 GMT).
Cuti umum di Amerika Syarikat dan Britain pada hari Isnin menghadkan penyertaan, menjadikan volum rendah.
Ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran semakin meningkat selepas Washington mengumumkan akan menghantar lebih banyak tentera ke Timur Tengah, meningkatkan prospek gangguan bekalan dan sokongan harga.
Namun, beberapa penganalisis berkata, impaknya terhad.
Pengeluaran minyak Rusia berterusan merosot pada bulan ini di bawah tekanan daripada eksport lebih rendah selepas penghantaran melalui saluaran Druzhba ke Eropah yang didapati tercemar pada bulan April.
Keluaran jatuh akibat pencemaran itu membantu mengetatkan pasaran dan meningkatkan harga.
Pengurangan bekalan yang diketuai oleh OPEC juga telah membantu mengawal pasaran dan memacu harga minyak mentah. – MalaysiaGazette