Home Nasional Kes SRC: Mahkamah sambung keterangan Shamsul

Kes SRC: Mahkamah sambung keterangan Shamsul

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada hari ke-19 perbicaraan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International yang melibatkan dakwaan penyelewengan sebanyak RM42 juta dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masuk hari ke-19 dengan menyambung sesi soal balas dengan saksi ke-37 hari ini.

Saksi, bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman pada keterangan lepas menyatakan dirinya tidak tahu menahu akauan AmPrivate Banking-1MY dan AmPrivate Banking sebenarnya akaun peribadi Najib.

Shamsul hanya mengetahui dana RM42 juta itu adalah daripada SRC melalui anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd apabila membaca artikel di laman web Wall Street Journal ketika berada di Belgium pada Julai 2015.

Terdahulu, Najib tiba di perkarangan kompleks mahkamah Jalan Duta tepat jam 8.45 pagi lengkap berkot gelap sambil melambaikan tangan kepada wakil media khasnya jurugambar sebelum naik ke tingkat lima sebentar tadi.

Shamsul yang dilantik oleh Najib untuk menerajui program tanggung jawab sosial korporat (CSR) juga mengakui pihaknya menerima RM40 juta setahun bagi tujuan tersebut pada keterangan hari ke-18 lalu.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram mendedahkan hanya tinggal 40 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib.

Beliau juga berkata sehingga kini kini perbicaraan kes sudah berlangsung sebanyak 30 peratus.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.

Bekas Perdana Menteri keenam itu dituduh melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini sekitar jam 9.20 pagi.

Peguam Najib, Harvinderjit Singh memberitahu Mohd Nazlan ketua pasukannya, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah akan menyertai perbicaraan jam 12 tengahari memandangkan beliau mempunyai kes lain.–MalaysiaGazette

Najib yakin saksi mampu laksana kerja-kerja kebajikan rakyat