KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,500 bungkus bubur lambuk habis diedarkan kepada orang ramai tidak sampai 30 minit di pekarangan Masjid Ibnu Kaldun di Sungai Besi di sini hari ini.
Program agihan ini dilakukan oleh MalaysiaGazette dengan kerjasama Padiberas Nasional Berhad (Bernas)
Timbalan Pengerusi masjid berkenaan, Amran Mamat berkata, pihaknya memuji penglibatan syarikat swasta yang sudi meraikan bulan Ramadan dengan menganjurkan program kebajikan.
Jelas beliau, ini membolehkan program amal dapat dilakukan secara berterusan oleh pihak masjid menerusi sumbangan dana pihak luar.
“Kami memulakan proses menyediakan bubur lambuk bermula pukul 7.30 pagi dan selesai dimasak pukul 10 pagi.
“Kemudiaannya proses pembungkusan pula bermula sehingga pukul 12.30 tengah hari,” katanya selepas Program Bubur Lambuk MalaysiaGazette itu.
Turut hadir, Pengurus Pemasaran Malaysia Gazette, Zairul Ahsorori dan proses agihan bubur lambuk dilakukan oleh kakitangan portal berita itu.
Mengulas lanjut, Amran turut berkongsi rahsia resepi bubur lambuk Masjid Ibnu Khaldun yang sentiasa ditunggu orang ramai selepas solat Asar sepanjang Ramadan ini.
Beliau berkata, bubur lambuk itu mempunyai citarasa yang sama seperti bubur lambuk Masjid Kampung Bharu.
Ini kerana ia dimasak oleh bekas tukang masak masjid itu sambil dibantu lima kakitangan lain.
“Setiap bulan Ramadan orang ramai di sini sememangnya menunggu bubur lambuk yang menjadi juadah turun temurun.
“Terima kasih kepada MalaysiaGazette dan Bernas kerana sudi bekerjasama dengan kami dan kami berharap hubungan ini akan terus terjalin pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 30 kilogram beras tajaan Bernas telah digunakan yang dimasak dalam dua periuk besar pada program ini. – MalaysiaGazette