KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini mendesak agar Peguam Negara, Tommy Thomas menjelaskan penarikan diri Syazlin Mansor.
Syazlin merupakan peguam mewakili Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)Syazlin Mansor di dalam prosiding inkues Allahyarham Mohd Adib Kasim.
Menurut Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, penjelasan itu perlu kerana prosiding sudah berlangsung selama 36 hari dan akan tamat dua hari lagi.
“Jabatan Peguam Negara mesti menjelaskan perkara ini supaya kegusaran ramai tentang ketelusan prosiding ini dapat diredakan.
“Malah Jabatan Peguam Negara juga sehingga hari ini tidak mengesahkan beberapa orang yang diberikan jaminan mulut dibebaskan setelah direman masih berada di dalam pemantauan pihak berkuasa atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Syazlin mendedahkan beliau memutuskan untuk menarik diri daripada inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim kerana terdapat perkembangan baru.
Beliau walau bagaimanapun enggan menghuraikan butirannya.
Ia hasil pertemuan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, Tommy Thomas perlu menjelaskan hal itu dengan terperinci kenapa tindakan sebegini diambil dan telus di dalam menjalankan amanah beliau.
“Kenapa dari awal prosiding Syazlin dibenarkan membantu koroner di dalam prosiding tersebut.
“Seperkara lagi yang perlu dijelaskan ialah segala keterangan yang diambil koroner sebelum ini dibuat secara bersumpah di dalam suatu prosiding yang sah di sisi undang-undang,” katanya lagi.
Muhammad Adib, 24, cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat. -MalaysiaGazette