Home Nasional Saksi hanya tahu RM143 juta dipindah ke Ihsan Perdana selepas ditangkap

Saksi hanya tahu RM143 juta dipindah ke Ihsan Perdana selepas ditangkap

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar semasa waktu berehat pada hari ke-19 perbicaraan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman mengakui dirinya hanya mengetahui individu yang memindahkan dana sebanyak RM143 juta ke akaun syarikatnya selepas ditahan oleh pihak berkuasa.

Shamsul yang merupakan saksi ke-37 mendakwa, dirinya sedar tentang pindahan dana sebanyak RM143 juta itu namun hanya mengetahui kebenaran tentang perkara tersebut selepas didedahkan oleh bekas Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil.

Beliau mendedahkan, walaupun sebelum ini beliau pernah cuba bertanya tentang wang tersebut namun tidak pernah diberikan jawapan sehingga terbaca tentang dana itu melalui Wall Street Journal.

“Selepas saya ditahan reman selama lima hari, Nik Faisal memberitahu saya dana sebanyak RM143 juta itu sebenarnya telah dipindahkan dari SRC International ke Ihsan Perdana.

“Perbualan kami sangat ringkas dan Nik Faisal tidak memberikan sebarang penerangan secara terperinci kepada saya.

“Kami sebenarnya tidak tahu menahu dari mana datangnya dana tersebut, pada sangkaan kami sebelum itu ianya datang dari funder 1MDB atau Yayasan Rakyat 1Malaysia sebelum itu,” terangnya.

Beliau berkata demikian ketika soal balas dengan peguam bela, Harvinderjit Singh juga mengakui terpaksa menandatangani beberapa cek kepada beberapa entiti dan induvidu yang tidak dikenali.

Malah walaupun pasti arahan yang dikeluarkan oleh Pengarah CSR 1MDB, Dennis See Thuan Buan untuk beliau tandatangan cek tersebut namun Shamsul mendakwa terpaksa mematuhinya.

“Saya ada tanya kepada Thuan Buan cek ini untuk siapa namun dia hanya mengatakan saya tidak perlu tahu dan hanya perlu tandatangan sahaja,” dakwanya.

Ketika Harvinderjit bertanya seandainya beliau mengesyaki penglibatan Najib dalam perkara tersebut Shamsul menafikan dakwaan itu.

Shamsul mendedahkan setelah Ihsan Perdana menerima RM143 juta, sebanyak 28 cek bernilai RM73 juta telah dikeluarkan kepada Mail Global Resources Sdn Bhd selain cek kepada induvidu bernama Razli Talib dan Razlan Shah sebanyak RM3 juta.

Cek dengan nombor akaun Najib juga telah dikeluarkan dengan nilai sebanyak RM42 juta, pada keterangan lepas, Shamsul mendedahkan dirinya tidak tahu langsung wang tersebut dipindahkan ke akaun Najib.

Malah kata Shamsul pada masa itu, beliau tidak akan sesekali meluluskan transaksi itu jika mengetahui ianya untuk akaun peribadi milik Najib walaupun hari ini mengakui dirinya ‘terpaksa’ tandatangan cek-cek tersebut.

Kini saksi ke-38, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Datuk Azian Mohd Noh memberikan keterangan ketika ini. –MalaysiaGazette