PUTRAJAYA – Balu kepada Allahyarham Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Samirah Muzaffar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini dengan ikat jamin RM500,000 hari ini.
Ini merupakan pertuduhan kes bunuh pertama 302 Kanun Keseksaan di peringkat Komanwel di mana seorang tertuduh dibebaskan dengan jamin.
Terdahulu Samirah telah meninggalkan pekarangan Istana Kehakiman dengan menaiki kenderaan MPV Volkswagen Sharan hitam tepat pukul 12.40 tengahari tadi.
Tertuduh diikat jamin dengan dua penjamin seperti yang diarahkan mahkamah tertinggi itu pada Selasa semalam.
Sekitar 11.40 pagi ini, dua individu wanita dipercayai ahli keluarga tertuduh Samirah hadir ke Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk melaksanakan urusan jamin dan menyelesaikan proses dokumentasi.
Kemudian sekitar 12.30 tengahari balu itu dibawa keluar dari Mahkamah Persekutuan menerusi laluan lokap aras bawah tanah mahkamah oleh polis bertugas.
Usaha sekumpulan pengamal media yang terdiri daripada wartawan dan jurufoto serta jurukamera untuk mendekati Samirah dan mendapatkan komen mengenai diikat jamin bagaimanapun gagal.
Samirah dilihat menutup kepala dan wajahnya dengan selendang hitam ketika masuk ke dalam kenderaan selepas menyedari kehadiran wartawan yang menunggu dihadapan pintu keluar bawah tanah mahkamah itu sebagai mengelak daripada dirakam lensa kamera.
Tertuduh dilihat telah diiringi tiga individu wanita dipercayai ahli keluarganya sebelum salah seorang wanita bertudung di sebelah pemandu dalam kereta itu menunjukkan isyarat bagus ke arah pengamal media sebelum kenderaan meninggalkan bangunan itu.
Para pemberita dan jurukamera telah menunggu di mahkamah seawal 8.30 pagi lagi di Mahkamah Persekutuan untuk kehadiran Samirah.
Semalam di Mahkamah Persekutuan, Samirah yang diwakili peguambela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berpelukan dengan ahli keluarganya selepas panel lima hakim yang diketuai Tan Sri Azahar Mohamed membenarkan rayuannya diikat jamin.
Azahar semasa membacakan keputusannya terkhilaf Samirah tidak dibenarkan diikat jamin dan menolak alasan mahkamah tinggi bahawa tertuduh akan mengganggu saksi jika dibebskan adalah samar dan tanpa bukti.
Beliau membenarkan rayuan diikat jamin Samirah dan mengenepikan keputusan mahkamah Tinggi sebelum ini yang gagal mempertimbangkan tertuduh mempunyai dua anak kecil bawah usia lima tahun yang memerlukan penjagaannya selain kerjasama tertuduh kepada polis sepanjang siasatan kes tersebut.
Namun Samirah dikenakan lima syarat iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis terdekat setiap dua minggu sekali, dan perlu berada di dalam rumah dari pukul 6 petang hingga 8 pagi.
Justeru Samirah juga tidak boleh meninggalkan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, tidak bolleh menghadiri sebarang majlis umum kecuali tujuan keagamaan dan keluarga selain dilarang berada di tempat umum tanpa kebenaran mahkamah.
Pada 12 Mac 2019, Samirah serta dua remaja berusia 14 dan 17 tahun dihadapkan ke mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didakwa membunuh Nazrin di kediamannya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu kira kira-kira 11.30 malam pada 13 Jun hingga 4 pagi, 14 Jun tahun lalu.
Bagaimanapun kedua dua remaja itu dibenarkan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 21 Jun ini sebagai tarikh pengurusan kes dan perbicaraan akan bermula 3 September ini.- MalaysiaGazette
Maaf, kes samirah bukan kes bunuh pertama di komenwel atau malaysia yg dibebaskan dengan jaminan. Razak baginda juga penah dibebaskan dengan jaminan rm1juta masa menghadapi pertuduhan bunuh altantuya.