DHAKA – Seramai 16 orang didakwa atas pembunuhan kejam seorang remaja yang dibakar hingga mati selepas melaporkan gangguan seksual.
Nusrat Jahan Rafi, 19, disiram dengan minyak tanah dan dibakar di bumbung di sebuah sekolah Islam pada 6 April lalu, selepas sehari membuat aduan.
Guru Besar, Siraj Ud Doula, yang disasarkan dalam aduan itu, adalah antara mereka yang didakwa.
Polis berkata, Siraj telah mengarahkan pembunuhan itu dari penjara apabila mangsa enggan mengeluarkan menarik balik aduan terhadapnya.
Polis menyifatkan pembunuhan itu seperti “rancangan ketenteraan”.
Rafi memfailkan aduan polis terhadap Siraj pada akhir bulan Mac dan dia ditangkap.
Pada 6 April, Rafi hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan akhir apabila dia didakwa ‘terjerat’ ke bumbung sekolah dan ditarik oleh sekumpulan orang yang memakai burka.
Mereka merancang untuk menjadikannya insiden itu sebagai bunuh diri, kata polis, tetapi Rafi melecur hingga 80 peratus pada tubuhnya dan dapat memberi kenyataan sebelum dia meninggal pada 10 April lalu.
Susulan kematian Rafi, Perdana Menteri Bangladeshi Sheikh Hasina berjanji bahawa setiap orang yang terbabit dalam pembunuhan akan dibawa ke muka pengadilan.
“Tiada seorang pun yang terlibat akan terlepas daripada undang-undang,” kata Hasina.
Polis di Feni, sebuah bandar kecil kira-kira 160km (100 batu) di luar ibu kota Dhaka, secara rasmi mendakwa 6 tertuduh. Mereka termasuk pelajar di madrasah dan dua ahli politik tempatan dari parti Liga Awami yang berkuasa di sekolah tersebut.
Kesemua tertuduh berdepan dengan hukuman mati.
Guru besar telah mengaku di mahkamah bahawa dia yang mengarahkan pembunuhan itu.
Polis berkata, 12 orang tertuduh telah memberi kenyataan pengakuan manakala kedua-dua ahli politik tempatan itu tidak mengakui sebarang penglibatan.
Pada 27 Mac, Rafi mendakwa guru besar madrasahnya memanggilnya ke pejabatnya dan berulang kali menyentuhnya dengan cara yang tidak wajar. Dia berlari sebelum perkara buruk berlaku.
Gadis itu dan keluarganya kemudian ke balai polis pada hari yang sama dan dia memberi kenyataan. Di balai polis pula, percakapannya telah dirakamkan.
Dalam video, Rafi kelihatan tertekan dan cuba menyembunyikan wajahnya dengan tangannya tetapi polis yang merakam video tersebut berkata “tidak ada masalah besar” dan menyuruhnya mengalihkan tangannya dari wajahnya.
Anggota polis itu kini didakwa secara tidak sah merakamkan kenyataannya dan berkongsinya di media sosial.
Guru besar madrasah itu ditangkap selepas Rafi memfailkan aduannya hingga mencetuskan protes jalanan tempatan yang mendesak pembebasannya.
Menurut Ketua Biro Penyiasatan Polis (PBI), Banaj Kumar Majumder, Siraj telah mengarahkan sekutu-sekutunya untuk menakut-nakutkan keluarga Rafi dan menarik balik aduan tersebut. Apabila gagal, dia telah mengarahkan Rafi dibunuh jika perlu.
PBI menggambarkan pembunuhan itu dilakukan dengan perancangan yang teliti – termasuk pembelian minyak tanah, burkas dan sarung tangan. Tertuduh dikatakan telah membahagikan peranan di antara mereka pada 6 April, hari pembunuhan itu.
Ada yang menjaga pintu madrasah untuk memastikan hanya pelajar yang masuk, sementara yang lain terus berjaga di depan bangunan tertentu di mana Rafi akan diserang, kata Majumder.
Menurut pernyataan yang diberikan oleh Rafi, dia di ke bumbung bangunan itu oleh seorang pelajar perempuan yang memaklumkan telah dipukul.
Rafi kemudian ditekan supaya menarik semula kes dan diminta menandatangani sekeping kertas kosong, tetapi dia enggan.
Keengganannya menyebabkan dia dipukul dan diikat sebelum disiram dengan minyak tanah dan dibakar, katanya.
Semasa dalam ambulans, Rafi yang takut tidak dapat bertahan, merakam kenyataan dalam telefon bimbit abangnya dan mengenal pasti beberapa penyerangnya termasuk pelajar-pelajar di madrasah.
“Guru menyentuh saya, saya akan melawan jenayah ini sehingga nafas terakhir saya,” dia boleh didengar berkata dalam video itu. – MalaysiaGazette