Home Nasional Najib tidak beri arahan KWAP lulus pinjaman kepada SRC International

Najib tidak beri arahan KWAP lulus pinjaman kepada SRC International

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar selepas selesai menghadiri hari ke-19 perbicaraan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 MEI 2019.

KUALA LUMPUR –  Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Datuk Azian Mohd Noh mendedahkan nota bertulis oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk permohonan kelulusan pinjaman SRC International sebenarnya bukan satu bentuk arahan.

Saksi ke-38 dalam prosiding SRC International melibatkan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta berkata, pihaknya (panel pelaburan) tidak menganggap itu sebagai arahan sebaliknya Najib hanya bersetuju dengan permohonan tersebut.

“Saya secara peribadi tidak langsung menganggap surat dari Najib itu sebagai satu arahan kelulusan untuk pinjaman tersebut.

“Malah, barisan panel sendiri tidak menerima arahan atau surat syor untuk mendapatkan pinjaman dari KWAP. Kelulusan terletak pada kuasa panel pelaburan KWAP sendiri,” katanya ketika soal balas dengan peguam bela, Harvinderjit Singh sebentar tadi.

Azian yang kini Ahli Lembaga Pengarah Danajamin Nasional Berhad mengangguk tanda bersetuju dan mengiakan soalan Harvinderjit yang meminta kepastian adakah benar Perdana Menteri mahupun Jabatan Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa dalam meluluskan pinjaman.

Beliau menjawab keterangan sebelum ini yang mendedahkan wujudnya nota catitan Najib sendiri dalam surat permohonan pinjaman oleh SRC International bahawa beliau bersetuju dengan pinjaman permohonan tersebut pada 2011.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-35, Naib Presiden Jabatan Perundangan dan Kesetiausahaan KWAP, Azlida Mazni Arshad juga memberi keterangan bahawa catatan tulisan tangan serta tanda tangan Najib yang menyatakan ‘bersetuju dengan cadangan ini’ dalam surat permohonan pinjaman SRC International itu adalah satu penyataan dan bukannya arahan dari Najib.

Dalam pada itu, Azian juga mengakui pinjaman sebanyak RM4 bilion oleh SRC International adalah jumlah terbesar pernah dipersetujui agensi dana persaraan itu.

KWAP meluluskan pinjaman pertama RM2 bilion kepada SRC pada tahun 2011 dan pinjaman kedua juga berjumlah RM2 bilion pada tahun 2012.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada sesi pemeriksaan utama pula, Azian mendedahkan, surat Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 28 Mac 2012 bagi pinjaman tambahan RM2 bilion kepada SRC berhubung persetujuan kerajaan menjamin pinjaman itu, tidak pernah berlaku sebelum itu.

Kata Azian jaminan itu bagi pembayaran balik untuk tempoh 10 tahun selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Februari 2012. – MalaysiaGazette