Home Utama Saya percaya Najib tak berlakon marah pihak salahguna akaunnya

Saya percaya Najib tak berlakon marah pihak salahguna akaunnya

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Saksi ke-37, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman mengakui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja terkejut malah kecewa dan marah dengan tindakan ‘pihak’ tidak diketahui memperalatkan akaun banknya.

Malah kata bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) mengakui, reaksi yang ditunjukan Najib  bukan lakonan sebaliknya jelas beliau begitu kecewa ada pihak telah menggunakan akaun bank peribadi untuk memindahkan wang.

Jelas Shamsul Anwar, sejurus selepas ditahan reman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2015, beliau ada menemui Najib untuk mendapatkan penjelasan berhubung pemindahan wang dari SRC International ke akaun Ambank Najib.

“Ketika bertemu dengan Najib di Langgak Duta, saya amat pasti beliau bukan berlakon sebaliknya benar-benar ikhlas melahirkan rasa terkejut bagaimana wujudnya pindahan wang dari SRC International masuk ke akaun peribadinya.

“Reaksi beliau seolah-olah beliau sangat kecewa dan marah dengan pemindahan tanpa sebarang pengetahuannya. Malah beliau juga tidak faham bagaimana syarikat saya (IPSB) dipergunakan untuk melakukan transaksi itu. Beliau nampak terganggu dan kecewa.

“Najib juga ada bertanya dengan saya jika SPRM ada bertindak kasar dengan saya ketika berada dalam tahanan.

“Saya telah dilayan dengan begitu baik sekali tetapi berkali-kali disoal dengan soalan yang sama oleh SPRM. Saya hanya menerangkan apa yang terjadi dan apakah tuduhan yang dilemparkan ke atas saya kepada Najib. Beliau nampak terkejut.

“Namun kami tidak berbincang dengan lebih mendalam tentang pindahan-pindahan tersebut. Saya tahu beliau tidak berlakon sebaliknya benar-benar terkejut,” katanya ketika soal balas dengan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Dalam pada itu, terdahulu Shamsul Anwar juga mengakui program korporat sosial (CSR) yang telah dijalankan pihaknya untuk ribuan rakyat sebenarnya idea Najib.

“Kami akan bercakap berjam-jam tentang program-program CSR. Sifat Najib yang begitu dekat dengan penderitaan rakyat khasnya golongan memerlukan tidak kira kaum atau fahaman parti politik.

“Hampir kesemua program yang dijalankan itu adalah atas arahan dan idea Najib sendiri dan saya tahu semua itu ikhlas dan benar-benar kerana memahami apa yang dilalui oleh rakyat.

“Saya yang telah bekerja dengan Najib dalam melaksanakan program CSR hampir lima tahun juga tahu dan pasti beliau ikhlas dalam melaksanakan semua aktiviti membantu rakyat,” terangnya.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi adakah Najib telah menasihatkan Shamsul Anwar untuk membuat laporan polis selepas mengetahui tentang penyewelengan itu, beliau kata tidak ada.

Perbicaraan SRC International membabitkan penyewelengan dana RM42 juta selain salah guna kuasa dan pecah amanah bersambung dengan memanggil saksi ke-38, bekas Ketua Pegawai Eksekutif pertama Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Datuk Azian Mohd Noh. –MalaysiaGazette