Home Ekonomi Sektor pelancongan jana RM21.4 bilion pada suku pertama

Sektor pelancongan jana RM21.4 bilion pada suku pertama

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (tiga kiri) diiringi Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Musa Yusof (dua kiri) Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Isham Ishak (kiri) menunjukkan paparan prestasi pelancongan pada sidang media Prestasi Pelancongan Malaysia Suku Pertama 2019 di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 MEI 2019

PUTRAJAYA -Sektor pelancongan negara menjana pendapatan RM21.4 bilion bagi tempoh suku pertama tahun ini.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 16.9 peratus  berbanding tahun lalu.

Kedatangan pelancong asing ke Malaysia turut meningkat 2.7 peratus sepanjang tempoh itu.

“Berdasarkan ketibaan bulanan, Malaysia telah menerima 2,195, 684 pelancong pada Januari diikuti 2,165,933 Februari dan 2,334,613 pada bulan Mac,” katanya kepada pemberita ketika sidang media.

Kata beliau, pelancong daripada Singapura berbelanja paling banyak iaitu RM6.2 bilion.

“Manakala pelancong asing jarak sederhana iaitu China pula berbelanja sebanyak RM3.7 bilion dan United Kindgom RM483.6 juta,” katanya.

Sementara itu, purata tempoh pelancong asing tinggal dalam negara meningkat daripada 4.2 malam tahun lalu kepada 6.0 malam.

Antara faktor menyebabkan peningkatan pendapatan sektor pelancongan pada suku pertama tahun ini adalah penyertaan aktif mempromosikan Malaysia di beberapa negara luar.

Dalam pada itu, Mohamaddin optimis sasaran 30 juta pelancong menjelang tahun 2020 akan menjadi realiti.

Keyakinan itu, katanya, berdasarkan lebih 2 juta pelancong tiba di  Malaysia setiap bulan.- MalaysiaGazette