PUTRAJAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak wajar dipersalahkan berhubung tindakan mogok oleh 30 pengusaha Food Truck semalam.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, masalah yang dialami oleh pengusaha terbabit sebenarnya berpunca daripada keegoaan mereka sendiri apabila tidak mahu hadir ketika perbincangan dibuat mengenai aktiviti perniagaan food truck di Jalan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka.
Malah, ada pula segelintir yang hadir memberikan pelbagai alasan kononnya kawasan itu tidak sesuai kerana kurang pelanggan.
“Problem macam ini, dulu bila kita nak buat diorang semua tak nak datang dan bincang dengan kita. Ada yang kata macam-macam. Bila kita dah buat last minit mereka nak masuk.
“Cadangan saya bila kita nak buat sesuatu dia orang kena datang dan kita bincang bersama. Jangan datang kata itu tak boleh lah ini tak bolehlah, nak bincang pun susah kamu datang dengan perasaan kamu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Khalid berkata, jika hendak menurutkan permintaan pengusaha food truck yang mahu berniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) perkara itu adalah sukar kerana lokasinya yang tidak sesuai untuk menempatkan kesemua mereka.
Ujarnya, pada masa ini sudah ada peniaga food truck yang mula berniaga di Jalan Raja kerana mereka memberikan kerjasama lebih awal berbanding 30 lagi yang mengadakan mogok semalam.
Bagaimanapun katanya, masalah itu telahpun diatasi apabila beliau sendiri telah bertemu dengan kesemua peniaga food truck terbabit dan satu perbincangan dalam menyelesaikan kekalutan itu telah dilakukan bersama datuk bandar.
Jelasnya, satu kajian akan dibuat mengenai perkara itu dan keputusannya akan diumumkan kelak.
Tambahnya, beliau berharap masalah yang sama tidak akan berlaku pada masa hadapan dan mahu ia menjadi lebih baik.
Semalam, tular di laman sosial apabila pasukan penguatkuasa terpaksa mengambil tindakan menutup jalan Sultan Abdul Samad apabila beberapa food truck cuba memasuki jalan tersebut hingga mengakibatkan kesesakan yang teruk.
Mereka turut mendakwa DBKL tidak memberikan permit untuk mereka menjalankan aktiviti perniagaan makanan di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette