KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri menolak dakwaan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) terdapat 100,000 orang pemegang Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) yang berasal dari China dianugerahkan kewarganegaraan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Kementerian itu menyifatkan dakwaan yang dilemparkan menerusi kenyataan Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman itu adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
“Berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari 10 Mei 2018 hingga 15 Mei 2019, terdapat hanya 37 orang individu dari Republik Rakyat China yang dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia.
“Kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi Kerajaan Persekutuan dan hak eksklusif yang tidak ditawarkan serta diberikan dengan sewenang-wenangnya,” kata kementerian itu dalam kenyataan terbaharu hari ini.
Malah jelas KDN, permohonan kewarganegaraan hanya boleh dikemukakan setelah seseorang warga asing memenuhi syarat yang diperuntukkan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964 [LN82/1964] serta perundangan-perundangan lain yang berkuat kuasa seperti peraturan imigresen.
“Setiap pertimbangan dibuat dengan teliti kerana ia akan menyebabkan warga asing tersebut menikmati keistimewaan dan hak yang sebelum ini hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia sahaja.
“Adalah ditegaskan agar mana-mana pihak tidak mengeluarkan dakwaan tidak berasas yang boleh mengelirukan orang awam serta menggugat keharmonian negara.
“Kementerian ini sentiasa komited dalam memastikan semua penganugerahan kewarganegaraan adalah teratur dan berasaskan prinsip perlembagaan Persekutuan.,” kata kementerian itu. – MalaysiaGazette