Home Utama Tersenarai Pemantauan Negara Manipulator tonjolkan kekukuhan Malaysia – Guan Eng

Tersenarai Pemantauan Negara Manipulator tonjolkan kekukuhan Malaysia – Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak campur tangan dalam pasaran pertukaran mata
wang asing untuk melemahkan nilai ringgit.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Malaysia tidak boleh digelarkan sebagai manipulator mata wang lebih-lebih lagi Bank Negara Malaysia telah menekankan bahawa negara ini menerima pakai rejim kadar pertukaran terapung dan sebarang intervensi yang dilakukan adalah bagi mengelak daripada berlakunya perubahan kadar pertukaran yang keterlaluan.

Katanya, ini bermaksud penyenaraian tersebut tidak membawa kesan kepada Malaysia, dan tiada denda atau sekatan ekonomi akan dikenakan terhadap Malaysia.

“Malaysia akan terus mengukuhkan daya saingnya secara adil melalui penggunaan
teknologi terbaharu, pelaburan infrastruktur, meningkatkan ketelusan, dan memudahkan proses kerajaan dan perniagaan, sambil menggalakkan perdagangan bebas di rantau Asia dan di seluruh dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Guan Eng memberitahu, sesebuah negara hanya akan dinamakan sebagai manipulator mata wang jika ia memenuhi ketiga-tiga syarat yang ditetapkan seperti yang diperakui dalam laporan Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara yang menamalkan ekonomi terbuka dengan daya saing yang tinggi.

Jelasnya, daya saing tersebut adalah berasaskan kepada kelengkapan infrastruktur yang baik, peningkatan kadar produktiviti, tahap ketelusan yang tinggi, lokasi strategik serta
integrasi erat ekonomi tempatan dalam rantaian bekalan sedunia.

“Walaupun Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (Perbendaharaan AS) telah
memasukkan Malaysia dalam Senarai Pemantauan Negara Manipulator Mata Wang
yang diterbitkan, laporan tersebut tidak menamakan Malaysia sebagai sebuah
manipulator mata wang.

“Sebenarnya, kemasukan Malaysia dalam senarai tersebut bersama dengan negara-negara pedagang utama dunia yang lain seperti Jepun, Jerman, Korea Selatan dan Singapura hanya menonjolkan kekukuhan negara serta peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam ekonomi dunia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, mana-mana negara yang mempunyai jumlah dagangan melebihi USD40 bilion setahun dengan Amerika Syarikat akan diperiksa oleh Perbendaharaan AS untuk penelitian lanjut.

Jelasnya, terdapat 21 negara yang memenuhi syarat tersebut, termasuk Malaysia dan daripada 21 negara terbabit semua negara yang memenuhi dua daripada tiga syarat lain akan dimasukkan dalam Senarai Pemantauan Perbendaharaan Amerika Syarikat.

“Malaysia dimasukkan dalam Senarai Pemantauan tersebut di atas dua faktor.

“Pertama, Malaysia mempunyai lebihan dagangan dengan Amerika Syarikat melebihi
USD20 bilion setahun. Kedua, Malaysia mempunyai lebihan akaun semasa yang sihat
melebihi 2% berbanding KDNK.

“Kedua-dua faktor ini hanya menonjolkan daya saing ekonomi Malaysia dan bukannya
bukti berlakunya manipulasi mata wang.

“Tambahan lagi, kita dapat membuktikan daya saing Malaysia dengan melihat prestasi Malaysia dalam Indeks Doing Business 2019 oleh Bank Dunia dan laporan World Competitiveness Ranking 2019 oleh IMD,” tambahnya.

Guan Eng menambah, dalam laporan bank dunia, kedudukan Malaysia telah meningkat sembilan anak tangga kepada tempat ke-15 berbanding tempat ke-24 pada tahun sebelumnya.

Berbanding dalam laporan IMD pula, Malaysia merupakan negara yang ke-22 paling berdaya saing di dunia, mengekalkan kedudukan yang sama seperti tahun lalu, katanya.

“Pada masa yang sama, peningkatan dalam pendapatan pelancongan sebanyak
16.9 peratus tahun-ke-tahun kepada RM21.4 bilion pada suku tahun pertama 2019 juga
merupakan suatu galakan, di mana ketibaan pelancong pula naik 2.7 peratus kepada 6.7 juta orang pada tempoh yang sama. Perkembangan ini membantu mengukuhkan lagi lebihan akaun semasa negara. – MalaysiaGazette