Home Nasional Kerajaan sendiri tidak mahu tolong kami, apakah nasib kami?

Kerajaan sendiri tidak mahu tolong kami, apakah nasib kami?

Pekerja Ladang, Tamil Selvan Gopalkrishnan bercakap pada sidang media mengenai pekerja ladang yang tertipu dengan bantuan perumahan di Brickfields, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Luahan hati pekerja Ladang Bukit Beruntung, Selangor yang menanti rumah ‘imaginasi’ selama hampir 30 tahun seperti yang dijanjikan oleh majikan mereka tidak pernah kunjung tiba.

Malah apa yang lebih menyedihkan ada antara mereka sudah meninggal dunia sementara menanti rumah kos rendah setelah menandatangani surat perjanjian jual beli sekitar tahun 1991.

Menurut Tamil Selvan yang merupakan generasi keluarga yang tinggal di Ladang Bukit Beruntung terpaksa menanti rumah yang tidak pernah dibina sejak 1991 kerana majikan didakwa tidak pernah peduli mengenai perkara itu, malah tidak gentar seolah-olah mereka kebal.

“Duit mereka sudah ambil, bayangkan pada masa 90-an nilai RM5,000 sehingga RM25,000 sungguh besar apatah kami bukanlah kaya raya. Kami kerja begitu kuat untuk simpan duit berdikit-dikit.

“Mengapa kerajaan tidak kisah tentang kami? Tidak kasihan dengan kami? Sehingga sekarang kami masih cuba berjuang, turun naik semua pejabat kerajaan mohon simpati dan bantuan tetapi (mereka) tidak kisah.

“Kerajaan sendiri tidak mahu tolong kami, kerajaan lama dan kerajaan kini. Tidak kisah langsung. Sampai bila kami perlu tunggu sesuatu yang tidak kunjung tiba? Umur saya sudah 54, sehingga bila saya boleh berjuang?

“Sehingga kini kami tidak ada rumah sendiri, bayar sewa selama lebih 20 tahun, 25 tahun. Ada juga majikan sudah pulang duit, ada yang tidak. Sebenarnya mengapa rintihan kami ini langsung tidak didengari.

“Apabila kami berkesempatan untuk bertemu dengan Menteri Sumber Manusia, kami dapat tahu kerajaan tidak ada apa-apa polisi, perundangan, pendirian atau peraturan dalam meminta pemilik ladang menyediakan rumah untuk kami. Tidak ada apa-apa. Hanya kosong seperti biasa.

“Tolonglah kami. Tolonglah. Kasihanlah kami, jangan buat kami begini lagi. Berpuluh-puluh tahun kami berjuang, undi semua orang hendak tapi apabila bercakap tentang pengadilan untuk kami, masing-masing hanya tuding jari, beri janji kosong dan kenyataan media. Tidak lebih dari itu,” katanya sebentar tadi.

MGF31052019_Sidang Media PSM_11
Pekerja Ladang, Patchaapan Periasamy bercakap pada sidang media mengenai pekerja ladang yang tertipu dengan bantuan perumahan di Brickfields, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 MEI 2019

Bagi Patchaapan Periasamy pula, dia tidak pasti sehingga bila perlu menunggu apatah lagi apabila kerajaan didakwa tidak mahu bertindak terhadap pemilik ladang yang seolah-olah boleh terlepas begitu sahaja.

“Saya sudah bayar deposit untuk rumah saya pada 1991, kami semua tunggu tapi hari ini 2019, tidak ada tanah, tidak ada rumah. Tidak ada apa-apa.

“Apabila bercakap khasnya ahli politik, warga estet di angkat tinggi kerana kami banyak membantu pembangunan negara ini malah ramai juga mengakui dalam kalangan keluarga susah sebelum berjaya dalam kehidupan.

“Jadi mengapakah rintihan kami langsung tidak didengari? Tolonglah beri kami nafas baru, berilah hak kami kembali. Dengan penuh harapan kami menanti tetapi kami memang tidak dapat apa-apa. Semua bercakap sahaja tidak lebih dari itu,” katanya. –MalaysiaGazette